Jumaat, 9 Ogos 2019 | 12:52pm
KETUA Polis Perak, Datuk Razarudin Husain (tengah) menyaksikan serah tugas jawatan Ketua Polis Daerah Ipoh antara Senior Asisten Komisioner, Mohd Ali Tamby (kiri) kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah (kanan) yang akan memangku tugas tersebut di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Kertas siasatan kes rogol EXCO Perak dipulangkan kali kedua

IPOH: Kertas siasatan berhubung kes pembantu rumah warga Indonesia yang mendakwa dirogol EXCO kerajaan Perak dipulangkan kali kedua kepada polis untuk dilengkapkan.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, berkata kertas siasatan terbabit yang diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri pada Rabu lalu dipulangkan kembali untuk polis melengkapkan sedikit lagi siasatan membabitkan beberapa keterangan yang diperlukan.

“Kertas siasatan EXCO terbabit dipulangkan semula kepada kita untuk melengkapkan sedikit lagi siasatan yang diperlukan sebelum kita hantar semula kepada Pengarah Pendakwaan Negeri.

“Polis tidak boleh dedahkan apa yang perlu dilengkapkan, namun seperti yang saya tegaskan sebelum ini, polis menjalankan siasatan dengan telus dan adil bagi kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurna dan menyaksikan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Ipoh di Mes Pegawai Kanan Polis di sini, hari ini.

Razarudin berkata polis perlu menjalankan sedikit lagi siasatan dan akan cuba melengkapkannya dalam tempoh dua hari ini.

Sementara itu, mengenai perkembangan siasatan kes samun dua kenderaan membawa emas bernilai RM1 juta yang dilanggar lori di Jalan Chin Hwa di sini, Isnin lalu, beliau berkata setakat ini keterangan dua mangsa yang juga pemandu kenderaan yang disamun itu sudah diambil.

“Bagaimanapun, mangsa tidak dapat mengecam suspek kerana terlampau takut dan trauma berikutan kejadian itu.

“Seorang daripada mangsa ketika kejadian berlaku terkena hentakan beg keselamatan (air bag) selepas kenderaannya dirempuh dan dia tidak dapat melihat apa yang berlaku serta keadaan persekitaran juga gelap selain cermin kenderaan turut dipecahkan,” katanya.

Katanya, semakan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran lokasi kejadian juga tidak dapat merakam gambar suspek sebaliknya hanya merakam pergerakan kenderaan saja.

“CCTV cuma dapat nampak kenderaan lalu dan tidak dapat cam orang, namun dapat lihat nombor pendaftaran kenderaan,” katanya.

3982 dibaca
Berita Harian X