Jumaat, 9 Ogos 2019 | 11:21am
ANAK tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz (kanan) hadir ketika sebutan kes tuduhan pengubahan wang haram (AMLA) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi

Bicara kes Riza Aziz ditetapkan Januari 2020

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan lapan hari bermula 6 Januari 2020 untuk perbicaraan kes membabitkan anak tiri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz.

Dia didakwa atas lima pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion), lapan tahun lalu.

Hakim Rozina Ayob menetapkan 6 hingga 9 Januari dan 13 hingga 16 Januari tahun depan untuk perbicaraan itu selepas pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, memaklumkan kepada mahkamah terdapat beberapa dokumen dari Amerika Syarikat (AS) masih belum diterima oleh pendakwaan.

Sri Ram berkata pihak pendakwaan juga tidak berhasrat untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi kerana tidak menerima sebarang arahan.

“Pihak pendakwaan sudah menyerahkan sebahagian dokumen berhubung kes itu mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

“Pihak kami juga akan memanggil kurang dari 10 saksi termasuk seorang dari Singapura untuk perbicaraan akan datang,” katanya.

Pasukan pendakwaan yang turut diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dan pasukan pembelaan diwakili Datuk Hariharan Tara Singh, mengesahkan menerima dokumen itu.

Pada 5 Julai lalu, Riza yang juga pemilik syarikat Red Granite Pictures, membuat pengakuan tidak bersalah terhadap lima pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion), lapan tahun lalu.

Tuduhan itu membabitkan wang yang diterimanya antara 2011 dan 2012 daripada Good Star Ltd (Good Star) yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penerbit filem ‘Wolf of The Wall Street’ itu akan dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Riza Aziz, didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil kegiatan haram masing-masing berjumlah AS$1,173,104 dan AS$9 juta.

Ia dilakukan melalui transaksi pemindahan wang daripada akaun nombor 11116073 milik Good Star di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, AS bernombor 123284291 milik Red Granite Production Inc.

Wang berkenaan adalah hasil daripada penyelewengan ke atas dana 1MDB.

Dia juga dituduh melakukan kesalahan itu di City National City Bank, Los Angeles Main, 525 South Flower Street, Los Angeles, California, AS, masing-masing antara 12 April dan 12 Mei 2011 serta 10 September dan 10 Oktober 2012.

Bagi pertuduhan ketiga hingga kelima, Riza Aziz didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima hasil kegiatan haram masing-masing berjumlah AS$133 juta, AS$60 juta dan AS$45 juta.

Ia dipindahkan daripada akaun bernombor 81134378 milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano ke akaun BSI Bank Ltd Singapura bernombor 6C02250A milik Red Granite Capital Limited.

Riza dituduh melakukan kesalahan itu di BSI Bank Ltd, 7 Temasek Boulevard, #32-01 Suntec Tower One, Singapura, masing-masing pada 18 Jun, 23 Oktober dan 14 November 2012.

Sementara itu, Ahmad Akram, ketika ditemui wartawan di luar mahkamah berkata pihak pembelaan masih menunggu dokumen membabitkan penyata akaun dari bank Switzerland dan Singapura.

Mahkamah turut menetapkan 20 September ini untuk sebutan semula kes.

834 dibaca
Berita Harian X