Khamis, 8 Ogos 2019 | 6:00pm
Gambar fail, Mahkamah Tinggi hari ini, menolak rayuan penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin, 37, terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu. - Foto Siraj Mohd Zaini

Wan Ji ditahan bantu siasatan - Pengarah JAIM

MELAKA: Pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin, ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ketika diminta hadir ke pejabat JAIM untuk memberi keterangan kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Pengarah JAIM, Md Azhan Samad, berkata penahanan dilakukan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM Datuk Rahimin Bani selepas Wan Ji, 37, hadir membantu siasatan berhubung tindakannya memberi ceramah tanpa tauliah ketika kuliah subuh di Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj, Bukit Beruang pada 14 Julai lalu.

“Saya sedang dapatkan maklumat lanjut kerana difahamkan tindakan Rahimin menahan Wan Ji dilakukan mengikut enakmen dan peraturan semasa (Seksyen 70 Enakmen Kesalahan Syariah Melaka 1991) .

“Ia (penahanan Wan Ji) berkaitan laporan kes di Masjid Bukit Beruang (Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj) dan prosedur biasa untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan. Jika ada prima facie kes, barulah kita dakwa, tetapi jika sebaliknya, kes akan ditutup,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan laporan tangkapan pendakwah bebas itu oleh pegawai JAIM hari ini.

Pada 21 Julai lalu, satu kekecohan berlaku susulan kehadiran pendakwah kontroversi itu ketika kuliah Maghrib di Masjid Ar Rahman Kampung Parit Melana, Durian Tunggal, Alor Gajah, hanya beberapa hari selepas ceramah tanpa tauliah di Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj, Bukit Beruang.

Wan Ji pada 9 Julai lalu dijatuhi hukuman penjara setahun selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam, menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun, tiga kemudian iaitu pada 12 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan penangguhan hukuman penjara setahun terhadapnya sehingga proses rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.

Wan Ji didakwa pada 10 September 2014, menerbitkan perkataan menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook (FB) dengan nama wanji.attaaduddi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, Shah Alam, pada 10 pagi, 5 November 2012.

Berita Harian X