Khamis, 8 Ogos 2019 | 5:07pm
Antara penagih dadah yang ditahan dalam operasi yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda. - Foto ihsan AADK

PATI menyorok sebalik langsir elak ditahan

SUNGAI PETANI: Seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam serbuan Op Selera dan Sapu di sini, semalam.

Dalam operasi yang berlangsung, beberapa individu dipercayai bersembunyi di belakang langsir namun cubaan itu dapat dihidu anggota yang melakukan serbuan di restoran serta rumah sewa di sekitar Sungai Petani.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin, berkata seramai 15 pegawai terbabit dalam operasi yang dijalankan pada jam 10 malam.

“Seramai 13 warga asing yang terdiri daripada lima warga Thailand, dua warga Nepal dan lima warga Indonesia bersama seorang kanak-kanak lelaki ditahan dalam serbuan terbabit.

“Semuanya berusia di antara 4 sehingga 40 tahun dan secara keseluruhannya, seramai 77 warga asing pelbagai negara diperiksa dalam operasi ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Zuhair berkata, saman saksi turut dikeluarkan kepada dua warga tempatan bagi membantu siasatan.

“Mereka yang ditahan didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tinggal lebih masa.

“Mereka juga melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Perkara 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan berkerja secara tidak sah,” katanya.

Semua ditahan di lokap Imigresen Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imigresen Belantik, Sik,” katanya.

Berita Harian X