Rabu, 7 Ogos 2019 | 2:28pm
ANTARA 100kg sosej babi yang dirampas dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Durian Burung, Padang Terap, baru-baru ini. - Foto ihsan MAQIS

100kg sosej babi cuba diseludup dirampas

PADANG TERAP: Sebanyak 100 kilogram sosej babi yang cuba diseludup masuk ke negara ini dari Thailand dirampas dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Durian Burung, Padang Terap di sini, Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) negeri, Lily Rosalind, berkata rampasan itu adalah hasil penahanan sebuah lori yang cuba melalui pintu sempadan.

Katanya, pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan itu gagal menunjukkan sebarang dokumen dikeluarkan MAQIS dan sijil kesihatan veterinar dari negara asal.

“Negara kita melarang pengimportan daging babi dari China, Thailand, Vietnam, Laos, Poland dan Belgium bagi mengelak kemasukan produk babi dari negara yang berpenyakit.

“Antara produk yang berisiko dalam penularan virus demam babi Afrika (ASF) adalah seperti babi hidup, daging babi segar, daging babi sejuk beku serta produk babi proses,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Lily berkata kesemua sosej babi itu sudah dimusnahkan mengikut prosedur bagi memastikan risiko penyakit ASF dapat dicegah.

Katanya, perbuatan mengimport produk babi tanpa permit yang sah daripada MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Undang-undang yang diguna pakai ini bagi memastikan kawalan penyakit haiwan mematuhi aspek kesihatan manusia serta dapat mengawal kemasukan perosak merbahaya yang boleh mengancam industri pertanian negara.

“Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Katanya, kerajaan terpaksa menanggung kerugian yang tinggi jika penyakit ini tidak dikawal selain boleh menjejaskan industri ternakan babi tempatan.

Berita Harian X