Rabu, 7 Ogos 2019 | 2:13pm
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengusung mayat Wan Khairul Amirin Rojiham dari Kampung Baru Sungai Buloh, Jeram, Selangor yang ditemui lemas ketika mandi bersama empat sahabat di Air Terjun Chamang. - Foto ihsan bomba

Pemandu e-hailing ditemui lemas di Air Terjun Chamang

KUANTAN: Pemandu e-hailing yang dikhuatiri lemas akibat dibawa arus deras air terjun Chamang, Bentong dekat sini, ditemui pagi ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Anuar Hassan berkata mayat Wan Khairul Amirin Rojiham, 25, ditemukan kira-kira 15 meter dari lokasi terakhir dia dilihat semalam.

“Mayat mangsa ditemui pada 9.35 pagi, iaitu kira-kira sejam setengah selepas operasi mencari dan menyelamat dimulakan hari ini, dengan penglibatan Pasukan Menyelamat Di Air Bomba,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Yusuf Unis sebelum ini dilaporkan berkata mangsa yang yang berasal dari Jeram, Selangor dipercayai datang ke air terjun itu bersama tiga rakan untuk berekreaksi pada JAM 5 petang semalam.

Mangsa dan rakannya dipercayai mula mandi sekitar pukul 6.30 petang sebelum mangsa dilihat dibawa arus deras kira-kira 45 minit kemudian. – BERNAMA

Berita Harian X