Rabu, 7 Ogos 2019 | 1:51pm
ANGGOTA Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) mencari seorang remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu di sebuah resort, di Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. - Foto Adzlan Sidek

Polis tambah kekuatan cari Nora

SEREMBAN: Polis hari ini menambah kekuatan anggota dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan warga Ireland yang hilang di sebuah resort di Pantai dekat sini sejak Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata seramai 206 pegawai dan anggota serta enam anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) terbabit dalam operasi mencari Nora Anne Quoirin, 15, hari ini, berbanding 178 orang semalam.

Beliau berkata, operasi pencarian yang memasuki hari keempat itu bermula seawal jam 7 pagi tadi.

“Operasi disertai polis dan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).


KENDERAAN PDRM yang mula memasuki lokasi pencarian ketika menjalankan misi pencarian seorang remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu di sebuah resort di Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. - Foto Adzlan Sidek

“Selain itu, turut serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Pasukan Gerakan Am (PGA),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nora sebelum ini dilaporkan hilang ketika menginap di sebuah resort di Pantai di sini pada Ahad lalu sebelum pihak berkuasa melancarkan SAR di kawasan berkenaan.

Remaja itu yang juga orang kurang upaya (OKU) dikatakan datang ke Negeri Sembilan bersama ibu bapanya dan dua lagi adik-beradiknya untuk menginap di sini.

Berita Harian X