Selasa, 6 Ogos 2019 | 6:36pm
NAIB Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah merasmikan Rumah Ronald McDonald (REM) di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kota Bharu, hari ini. - Foto Zaman Huri Isa

PAS sedia isytihar harta kepada SPRM

KOTA BHARU: PAS sedia mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya perkara itu dijadikan peraturan yang perlu dipatuhi.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, pada masa sama memaklumkan pengisytiharan itu perlu dibuat kepada kerajaan saja, bukannya kepada khalayak.

“Cadangan SPRM supaya semua ADUN mengisytiharkan harta itu memang tidak ada masalah, ini kerana kami di EXCO Kelantan sejak dulu lagi mengisytiharkan harta kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

“Untuk berbuat demikian kepada pihak berwajib tiada masalah, melainkan untuk isytihar kepada khalayak kita tidak setuju kerana boleh mendedahkan individu kepada kemungkinan negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Rumah Ronald McDonald (REM) di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini, hari ini.

Terdahulu, SPRM mencadangkan semua ADUN wajib mengisytiharkan harta bagi mengelak perbuatan rasuah di negeri-negeri.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata pihaknya sedang menjelajah ke beberapa negeri bagi mendapatkan maklum balas berkaitan pelaksanaan syor berkenaan.

Katanya, di setiap negeri ada lombong, pelesenan, tanah pertanian serta alam sekitar (pembalakan) dan ini semua berisiko menjadi lubuk rasuah.

Mengulas lanjut, ketika ditanya negeri itu berisiko menjadi lubuk rasuah, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, menafikan perkara itu.

Katanya, alasan SPRM bahawa negeri itu adalah lubuk rasuah tidak betul, namun sekiranya pengisytiharan harta itu dibuat untuk memudahkan pemantauan, ia langkah yang bagus.

Berita Harian X