Selasa, 6 Ogos 2019 | 1:45pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika hadir pada perbicaraan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Jho Low gelar Najib 'Optimus Prime'

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menggelar Datuk Seri Najib Razak sebagai ‘Optimus Prime’ iaitu hero dalam filem aksi ‘Transformers’.

Gelaran itu digunakan oleh Jho Low melalui singkatan OP ketika bertukar-tukar pesanan ringkas Blackberry dengan bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu melalui urusan transaksi tiga akaun bank semasa peribadi Najib.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram pada sesi pemeriksaan semula, Joanna, 48, berkata, beliau difahamkan singkatan OP itu ialah ‘Optimus Prime’.

“Saya masih ingat pernah bertanya mengenai singkatan itu sebelum ini,” katanya.

Sithambaram secara bersahaja dan berjenaka membalas, “Setahu saya OP itu ialah ketua filem Transformers”.

Log perbualan antara Joanna dan Jho Low yang dirujuk Sithambaram itu ialah;

Jho Low: Beritahu dia, OP mungkin akan tutup akaun pada Disember.

Joanna: Ashok (Bekas Pengarah Urusan Kumpulan AmBank Ashok Ramamurthy) mahu kemas kini laporan.

Jho Low: Beritahu dia, OP cakap mungkin akan tutup akaun hujung Disember.

Sementara itu Joanna bersetuju dengan cadangan Sithambaram bahawa tidak mungkin seseorang pemegang akaun menggunakan wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya tanpa menyedarinya.

Joanna berkata, pemegang akaun perlu mengetahui transaksi yang berlaku dalam akaun banknya.

Saksi ke-54 pendakwaan itu berkata, mustahil bagi Najib untuk tidak menyedari ada kemasukan duit dalam akaunnya.

Sithambaram menyoal Joanna sama ada Najib pernah bertanya bagaimana beliau hanya menerima RM212 juta dalam akaunnya, dan pada masa sama membelanjakan RM395 juta.

Joanna menjawab, “Tidak”.

Sithambaram sekali lagi mencelah, “Kecuali duit itu luruh dari pokok”.

Jelas Joanna, lebih-lebih lagi belas perdana menteri itu seharusnya menyedari kemasukan wang berkenaan kerana beliau ada mengeluarkan cek daripada akaun berkenaan.

Katanya, tidak ada sebarang aduan yang dikemukakan oleh Najib mengenai cek yang dikeluarkan oleh beliau, sebenarnya dikeluarkan oleh pihak lain.

Saksi itu yang sudah lebih seminggu memberikan keterangan berkata, berdasarkan rekod tiada bukti yang menunjukkan bahawa Jho Low menggunakan wang yang dimasukkan ke dalam akaun Najib.

Sithambaram: Ada atau tidak cek yang yang dikeluarkan daripada akaun Najib dibayar kepada Jho Low?

Joanna: Tidak.

Sithambaram: Kamu sebagai pegawai bank, ada atau tidak bukti bahawa Jho Low menggunakan wang daripada akaun peribadi Najib?

Joanna: Saya tiada pengetahuan tetapi berdasarkan kepada butiran cek, tidak ada.

Sithambaram: Adakah Nik Faisal Ariff Kamil (pemegang mandat akaun Najib) pernah memindahkan wang daripada akaun ini ke dalam akaunnya sendiri?

Joanna : Tidak.

Sithambaram: Adakah kamu secara peribadi pernah pindahkan wang itu ke dalam akaun kamu?

Joanna: Tidak pernah.

Sithambaram: Adakah kemungkinan bagi seseorang pemegang akaun tidak tahu ada RM395 juta dalam akaun dia?

Joanna: Dia patut tahu.

Berita Harian X