Selasa, 6 Ogos 2019 | 11:21am
MOTOSIKAL yang dinaiki Muhammad Hakim Sazali dan rakannya, Harrith Eiman Mohammad Zahid remuk bahagian depan selepas terbabit dalam kemalangan di Taman Medan Berjaya, Langkawi. - Foto ihsan pembaca

Remaja maut motosikal rempuh tembok

LANGKAWI: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang bersama rakannya, terbabas dan melanggar tembok di Taman Medan Berjaya di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 1.20 pagi itu, mangsa, Muhammad Hakim Sazali, 14, maut di tempat kejadian, manakala rakannya Harrith Eiman Mohammad Zahid, 21, mengalami luka ringan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang dua rakan terbabit merempuh tembok.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal jenis Yamaha Nouvo LC terbabit ditunggang laju, sebelum hilang kawalan dan terbabas ke bahagian kiri jalan.

“Motosikal itu turut merempuh tembok longkang menyebabkan penunggang dan pembonceng tercampak ke tepi longkang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, akibat kejadian itu penunggang motosikal cedera di kaki dan tangan kanan serta muka, manakala pemboncengnya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Langkawi untuk bedah siasat, dan penunggang motosikal menerima rawatan di hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

688 dibaca
Berita Harian X