Selasa, 6 Ogos 2019 | 10:19am
SEORANG ahli perniagaan berusia 63 tahun maut selepas ditembak ketika sedang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima di Jalan Air Putih pada jam 1.30 pagi tadi. - Foto Ihsan Polis Pahang

Ahli perniagaan maut ditembak

KUANTAN: Seorang ahli perniagaan maut selepas ditembak tiga das di beberapa bahagian badan setelah pulang daripada berhibur di sebuah kelab malam di hadapan sebuah rumah di Air Putih di sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira 1.30 pagi itu menyebabkan lelaki berusia 63 tahun, berasal dari Johor Bahru, Johor meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan, berkata sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya berusia 47 tahun baru pulang berhibur di sebuah kelab malam di bandar Kuantan.

“Ketika sampai di rumah yang disewa mangsa, rakannya keluar dari kereta jenis Toyota Estima yang dinaiki mereka sebelum datang individu tidak dikenali menembak ahli perniagaan itu.

“Bagaimanapun, selepas ditembak, mangsa sempat memandu kereta keluar daripada rumah berkenaan untuk mendapatkan bantuan dan meninggalkan rakan yang lari bersembunyi,” katanya dalam sidang media Sempena Perhimpunan Khas Ketua Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.


SEORANG ahli perniagaan berusia 63 tahun maut selepas ditembak ketika sedang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima di Jalan Air Putih pada jam 1.30 pagi tadi. - Foto Ihsan Polis Pahang

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun tidak sempat mendapatkan bantuan lalu berhenti di sebuah farmasi berdekatan rumah sewanya itu.

“Orang ramai yang menyedari keadaan mangsa kemudian menghubungi pihak polis kira-kira jam 2 pagi sebelum sepasukan polis sampai di tempat kejadian kira-kira 15 minit kemudian.

“Mangsa dihantar ke HTAA sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan. Siasatan mendapati mangsa tinggal di Johor Bahru dan datang ke Kuantan atas beberapa urusan serta menyewa rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, rakan mangsa yang menyembunyikan diri ketika kejadian itu sudah ditahan polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kita masih menyiasat motif kejadian dan meminta orang ramai yang melihat kejadian supaya menghubungi pihak polis atau pergi ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori,” katanya.

5791 dibaca
Berita Harian X