Isnin, 5 Ogos 2019 | 8:16pm
BEKAS Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu. - Foto Zunnur Al Shafiq

Saya mula curiga dengan Jho Low pada 2014 - Joanna Yu

KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu, mula curiga dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho, ketika mereka menjalankan urusan transaksi akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 2014.

Yu yang sudah lapan hari disoal balas oleh peguam Harvinderjit Singh memberitahu Mahkamah Tinggi, perasaan curiga terhadap Jho Low yang kini dikehendaki pihak berkuasa, hanya timbul pada penghujung 2014.

“Perasaan itu timbul apabila kami meminta dia (Jho Low) untuk menutup akaun peribadi berkenaan pada 2014,” kata saksi pendakwaan ke-54 itu.

Sebelum itu, mahkamah diberitahu bahawa pada akhir 2014, pengurusan kanan AmBank mencadangkan dan membincangkan mengenai penutupan akaun semasa Najib memandangkan akaun itu sentiasa terlebih pengeluaran dan bank sering perlu menunggu dana yang mencukupi didepositkan bagi menjelaskan cek yang dikeluarkan Najib.

Harvinderjit: Adakah kamu bersetuju jika semasa kamu berurusan dengan Jho Low, kamu mempunyai perasaan syak yang kuat bahawa beliau tidak berkomunikasi dengan pemegang akaun (Najib), kamu akan memaklumkannya kepada bank.

Yu: Saya akan memaklumkannya kepada (bekas pengarah urusan kumpulan Ambank Group) Cheah Tek Kuang.

Harvinderjit: Dan kamu akan menjadi amat, amat keberatan untuk berurusan dengan Jho Low bagi perkara yang berkait dengan akaun (akaun Najib) itu?

Yu: Ya.

Harvinderjit: Tetapi kamu tidak mempunyai perasaan syak yang kuat. Tidak sehingga sekurang-kurangnya 2014, 2015.

Yu: Apabila kami memberitahunya (Jho Low) untuk menutup akaun (Najib) itu.

Sementara itu, Yu mengesahkan bahawa Najib enggan menutup ketiga-tiga akaun semasa peribadi miliknya walaupun beliau sudah mendesak Jho Low untuk berbuat demikian.

Melalui log perbualan antara Yu dan Jho Low yang dirujuk Harvinderjit menunjukkan bahawa Najib enggan menutup akaun ketiga-tiga akaun semasa peribadi miliknya walaupun didesak Yu.

Dalam perbualan itu, Jho Low membalas desakan Yu untuk menutup akaun dengan berkata; Tanya MNR ( Mohd Najib Razak), dia tidak mahu akaun ditutup.

Dalam keterangan sebelum ini, Yu memberikan amaran supaya akaun itu ditutup kerana diawasi pihak bank berikutan bimbang terdedah kepada siasatan pengubahan wang haram kerana terdapat kemasukan deposit tunai yang banyak.

Sementara itu, Yu berkata, Jho Low mengarahkan supaya wang sebanyak RM27 juta dan RM5 juta daripada akaun Najib dipindah balik ke akaun Permai Binaraya dan Putra Perdana Construction.

Permai Binaraya adalah subsidiari kepada Putra Perdana Development Sdn Bhd manakala Putra Perdana Construction adalah anak syarikat Putrajaya Perdana Berhad.

Yu berkata, arahan itu dikeluarkan Jho Low pada 20 Disember 2014.

Beliau berkata, Jho Low mengarahkannya menyediakan surat arahan untuk AmBank memindah balik wang berjumlah RM27 juta dan RM5 juta yang dimasukkan ke dalam akaun berakhir dengan nombor 880 dan 906 milik Najib.

Harvinderjit membacakan perbualan menunjukkan Jho Low mengarahkan Yu menyediakan draf yang perlu ditandatangani oleh Nik Faisal Ariff Kamil, selaku pemegang mandat akaun Najib.

Harvinderjit menyatakan, Nik Faisal hanya diberi mandat untuk mengendalikan pemindahan antara akaun Najib dan bukan membabitkan pemindahan dana ke akaun lain.

Sehubungan itu, katanya Jho Low mengarahkan Yu menyediakan surat arahan yang perlu ditandatangani Najib.

Katanya, pemindahan balik itu berjaya dilakukan pada 29 Disember 2014.

Sementara itu, pada prosiding esok, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memberikan masa sejam kepada Harvinderjit untuk melengkapkan menyoal balas Yu yang sudah memasuki hari kelapan hari ini.

Ini bermakna saksi baharu mungkin akan dipanggil memberikan keterangan dalam perbicaraan dan nama yang disebut-sebut bakal dipanggil ialah bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, selain pegawai penyiasat kes.

Ahmad Husni adalah individu yang sering dinyatakan oleh beberapa saksi sebelum ini yang menandatangani surat Jaminan Kerajaan bagi pinjaman pertama RM2 bilion yang dibuat SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) pada tahun 2011.

2770 dibaca
Berita Harian X