Isnin, 5 Ogos 2019 | 12:12pm

Kurang lima minit bawa lari emas RM1 juta

IPOH: Dua kenderaan membawa emas bernilai RM1 juta dilanggar dengan kepala lori sebelum disamun penjenayah yang melarikan diri menaiki kenderaan lain di Jalan Chin Hwa, di sini, pagi tadi.

Kejadian jam 6.30 pagi itu membabitkan dua kenderaan iaitu Mitsubishi Pajero Sport dan Toyota Fortuner yang melalui kawasan berkenaan selepas mengambil barang kemas dari rumah majikannya untuk dihantar ke Kelantan.

Difahamkan, kedua-dua kenderaan dipandu masing-masing seorang lelaki berusia 30-an itu, dirempuh kepala lori berkenaan sebelum dua suspek bersenjatakan parang turun dan menyamun barang kemas terbabit.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Asisten Komisioner Anuar Othman, berkata siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek itu menggunakan kepala lori yang dilaporkan dicuri awal pagi ini di Klang, Selangor.

Katanya, kedua-dua suspek bagaimanapun tidak mengapa-apakan mangsa dan hanya membawa lari barang kemas itu menggunakan sebuah kenderaan lain dalam kejadian samun tidak sampai lima minit itu.


PEGAWAI polis menjalankan siasatan dilokasi kejadian dua kenderaan disamun menggunakan modus operandi melanggar kenderaan itu menggunakan lori sebelum membawa lari emas bernilai RM1 juta menaiki kenderaan lain di Jalan Chin Hwa, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

“Kedua-dua suspek membawa lari empat beg barang kemas dianggarkan bernilai RM1 juta yang dibawa mangsa untuk dihantar ke Kelantan dan seorang dari mangsa mengalami kecederaan akibat terkena kaca.

“Selain dua suspek yang menaiki lori berkenaan, kita percaya ada dua lagi suspek lain yang menaiki sebuah lagi kenderaan untuk melarikan diri dan polis sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti jenis kenderaan itu.

“Polis percaya kejadian samun ini sudah dirancang dan kita akan menyiasat dari setiap aspek serta sedang meneliti sekiranya ada CCTV (kamera litar tertutup) di sepanjang laluan ini,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Anuar berkata, seorang mangsa yang cedera sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Katanya, polis sedang menggiatkan usaha untuk mengesan semua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

28252 dibaca
PEGAWAI polis menjalankan siasatan dilokasi kejadian dua kenderaan disamun menggunakan modus operandi melanggar kenderaan itu menggunakan lori sebelum membawa lari emas bernilai RM1 juta menaiki kenderaan lain di Jalan Chin Hwa, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof
Berita Harian X