Ahad, 4 Ogos 2019 | 3:00pm
Ambulans yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 368.3 PLUS, arah selatan, dekat Slim River, awal pagi tadi. - Ihsan Bomba
Keadaan ambulans selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 368.3 PLUS, arah selatan, dekat Slim River, awal pagi tadi. - NSTP/Rosman Shamsudin

'Tak sangka itu lambaian terakhir'

SLIM RIVER: “Ketika berselisih motosikal di kampung semalam, saya dan Hafidz hanya sempat melambaikan tangan dan hari ini, dia pergi buat selama-lamanya,” kata Mohd Suhaimi Md Said.

Mohd Suhaimi berusia 61 tahun adalah jiran sekampung kepada pemandu ambulans, Mohd Hafidz Mohd Bahari, 37, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 368.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan, dekat sini, awal pagi tadi.

Beliau berkata, mangsa sudah tiga tahun menyewa rumah di Kampung Jaya di sini dan mempunyai tiga anak perempuan yang bersekolah di Tahun Satu, Dua dan Lima di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim.

Katanya, dia sering minum di kedai bersama arwah tetapi semalam hanya sempat melambaikan tangan disebabkan kesibukan kerja seharian.

“Arwah berasal dari Baling, Kedah dan isterinya berasal dari FELDA Gunung Besout 4 dan difahamkan arwah bercadang pulang ke Baling pada hari ini kerana sudah mengambil cuti untuk menziarah keluarga.

“Petang semalam, ramai rakan isteri arwah berada di rumah untuk minum petang dan maklumkan arwah kelihatan tidak duduk diam, dia ke hulu ke hilir seperti keresahan. Tak sangka pula itu petanda beliau akan pergi selamanya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, arwah memang seorang yang peramah dan mudah mesra dengan orang ramai di kampung itu dan kehilangannya amat dirasai penduduk.

Selain Mohd Hafidz, seorang pesakit yang dibawa ambulans milik Hospital Slim River itu dikenali sebagai Azizah Dolah, 66, turut maut dalam kemalangan pada kira-kira jam 6.30 pagi itu, manakala tiga lagi mangsa cedera termasuk seorang doktor wanita.

Kemalangan ambulans berkenaan dipercayai berpunca daripada tayar belakang sebelah kanan yang pecah sebelum kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas melanggar pembahagi jalan.

Sementara itu, jiran kepada pesakit yang maut, Mohamad Wahid, 64, berkata arwah tinggal di FELDA Gunung Besout 2 dan dia sudah 36 tahun mengenali arwah.

Katanya, arwah sebelum ini mengidap penyakit kencing manis dan dimasukkan ke hospital semalam selepas mengadu sakit.

“Dulu arwah memang aktif dalam aktiviti penduduk tetapi selepas sakit dia sering duduk di rumah sahaja.

“Saya terkejut menerima berita kematiannya kira-kira jam 10 pagi tadi,” katanya.

Berita Harian X