Ahad, 4 Ogos 2019 | 2:16pm
Pengarah LKTN,Nik Muhammad Azhar Nik Mustapha ditemui selamat selepas terkandas kira-kira 12 jam di kawasan peranginan Lata Kolam Air Deru, Kampung La. - NSTP/Ihsan PDRM

Pengarah LKTN Kelantan terkandas 12 jam

JERTIH: Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Kelantan ditemui selamat pagi tadi selepas terkandas kira-kira 12 jam di kawasan peranginan Lata Kolam Air Deru, Kampung La, di sini.

Difahamkan mangsa, Nik Muhammad Azhar Nik Mustapha, 40, bersama empat rakan tiba di Lata Kolam Air Deru kira-kira jam 10.30 pagi semalam untuk memancing.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata mangsa pada mulanya bergerak bersama kumpulan itu sebelum membuat keputusan berhenti di satu lokasi untuk memancing seorang diri di situ.

Beliau berkata, berdasarkan kenyataan seorang rakan mangsa berusia 57 tahun, ketika sampai di Lata Kolam mereka bergerak naik ke bahagian atas kira-kira 30 minit dari pintu masuk untuk sampai ke peringkat pertama.

“Pada awalnya mereka dikatakan memancing di situ dan mangsa serta tiga lagi rakan yang lain bergerak naik ke bahagian atas.

“Mangsa dikatakan berhenti di pertengahan jalan untuk memancing seorang diri sementara yang lain bergerak ke tempat lain,” katanya.

Mohd Zamri berkata, rakan mangsa kemudian menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada Nik Muhammad Azhar pada 4.17 petang memintanya menunggu di bahagian bawah dan mangsa memaklumkan dia berseorangan di situ, manakala telefon bimbitnya hampir kehabisan bateri.

“Pada jam 7.45 malam mangsa masih belum turun dan kumpulan itu meminta bantuan kecemasan kira-kira jam 8.30 malam untuk mengesan lokasi mangsa selepas dia gagal dihubungi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya yang dimaklumkan mengenai kejadian kemudian menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa serta merta dalam operasi bersama pihak bomba dan penduduk kampung.

“Mangsa bagaimanapun berjaya turun sendiri ke lokasi awal beliau sampai kira-kira jam 7.45 pagi tadi.

“Dimaklumkan beliau mengesan cahaya lampu orang mencarinya malam tadi, tetapi bunyi kuat air terjun menyebabkan jeritannya meminta tolong tidak didengari pasukan SAR.

“Mangsa yang mengalami kekejangan kaki dihantar ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan dan kes dianggap selesai,” katanya.

Berita Harian X