Ahad, 4 Ogos 2019 | 10:25am

Tiga mangsa hilang di laut pulang

KUALA TERENGGANU: Tiga mangsa yang dilaporkan hilang di laut Rabu lalu, tiba di jeti Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, di sini, pagi ini.

Mangsa, Fauzi Mohamad, 40, Mohammad Firdaus Mohd Awalludin, 25, dan Mohamad Hafiz Abdul Rahim, 22, tiba di jeti berkenaan jam 8.45 pagi dengan menaiki bot Maritim Malaysia.

Difahamkan kesemua mangsa menaiki Kapal Maritim (KM) Pekan dari Pelantar Minyak Bunga Orkid milik Petronas hingga ke Muara Kuala Terengganu sebelum dibawa pulang Maritim Malaysia kira-kira jam 7 pagi.


Kerja-kerja memindahkan tiga mangsa yang dilaporkan hilang di laut Rabu lalu dari pelantar minyak Bunga Orkid milik PETRONAS ke kapal KM Pekan. - Foto ihsan APMM

Ketibaan mereka disambut Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli; Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Mohd Yusoff Aman dan pihak pengurusan resort selaku majikan mereka.

Bagaimanapun, hanya beberapa ahli keluarga mangsa yang hadir di lokasi dan difahamkan mereka menunggu di resort disediakan majikan mangsa yang terletak di Dungun.


DARI kiri; Pemandu bot, Fauzi Mohamad, 40, pekerja resort di Pulau Tenggol Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22 dan Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25 yang dilaporkan hilang di laut Rabu lalu. - Foto Rosli Ilham

Kerja-kerja memindahkan tiga mangsa yang dilaporkan hilang di laut Rabu lalu dari pelantar minyak Bunga Orkid milik PETRONAS ke kapal KM Pekan. - Foto ihsan APMM

Kesemua mangsa di bawa menaiki ambulans ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, untuk mendapat rawatan susulan sebelum dibenarkan pulang bertemu ahli keluarga masing-masing.

Rabu lalu, media melaporkan bot pelancong dinaiki mangsa iaitu dua pemandu bot dan seorang pekerja resort tidak sampai ke resort Pulau Tenggol selepas berlepas dari jeti Kampung Rajawali Pulau Serai, kira-kira jam 12 tengah hari.

Kehilangan mereka menyebabkan pihak pengurusan resort membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, jam 4 petang hari sama.

Selepas tiga hari dilaporkan hilang tiga pekerja resort terbabit diselamatkan bot laut dalam tempatan yang dikendalikan warga Thailand di sempadan perairan negara sebelum dibawa ke Pelantar Minyak Bunga Orkid milik Petronas.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia APMM Terengganu, Kapten Maritim Mohd Suffi Mohd Ramli (dua kiri) membawa tiga mangsa hanyut Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22, (kanan) Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25, (kiri) Fauzi Mohamad, 40 (dua kanan) di jeti APMM Kuala Terengganu. - Foto Imran Makhzan
Berita Harian X