Sabtu, 3 Ogos 2019 | 6:12pm
Mansor melakonkan semula situasi kejadian lif terhempas dari tingkat lima di Blok C, PPR Kerinchi, Kuala Lumpur. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

'Ibarat mimpi ngeri yang berulang'

KUALA LUMPUR: Bagi salah seorang mangsa insiden lif jatuh di Blok C, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini, kejadian itu ibarat mimpi ngeri yang berulang.

Mansor Husin, 64, berkata kejadian kira-kira jam 2.30 petang semalam itu adalah kali kedua bagi dirinya sejak tinggal di PPR itu sejak 12 tahun lalu.

Katanya, tahun lalu dia mengalami kecederaan di kaki kanan selepas lif terjatuh dari tingkat tiga, manakala semalam dia mengalami kecederaan di kaki kiri.

“Tahun lalu, ada empat orang di dalam lif, namun kejadian pada tahun ini lebih mengerikan kerana lif meluncur laju dari tingkat lima.

“Boleh dikatakan, saya kini trauma menggunakan lif dan lebih banyak menggunakan tangga dari kediaman saya di tingkat lapan untuk turun ke bawah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, hari ini.

Mansor berkata, kaki kirinya lebam dan lenguh akibat kejadian berkenaan yang berlaku dalam sekelip mata.

“Ketika kejadian, saya terduduk, saya tercedera kerana orang lain di dalam lif menghempap kaki saya.

“Saya bersyukur kejadian kali kedua ini tidak mengakibatkan kecederaan parah terhadap semua penduduk yang ada di dalam lif,” katanya.


Penduduk membawa barang di dalam lif ketika tinjauan di lokasi kejadian lif terhempas dari tingkat lima di Blok C, PPR Kerinchi, Kuala Lumpur. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Penduduk menggunakan tangga untuk lebih pantas daripada menunggu lif di Blok C, PPR Kerinchi, Kuala Lumpur. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Johari (kiri) dan isterinya, Norhasliza Jamaluddin menceritakan kejadian lif terhempas dari tingkat lima di Blok C, PPR Kerinchi, Kuala Lumpur. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Seorang lagi mangsa, Johari Kamarudin, 40, berkata kejadian berlaku terlalu pantas menyebabkan dia terjatuh ketika lif sedang meluncur laju ke bawah.

“Mula-mula ketika kami naik, ada penggera berbunyi memaklumkan lif itu lebih muatan, tetapi bunyi itu kemudian berhenti dan lif boleh berfungsi.

“Kemudian tiba di tingkat lima, dengan pantas ia terjatuh tanpa penggera kecemasan berbunyi, sekelip mata saya terasa sudah terhempas di bawah.

“Kami di dalam lif tidak sempat berbuat apa-apa kerana amat terkejut, ketika itu ada penduduk yang cuba membuka pintu lif untuk mengeluarkan kami namun gagal.

“Tidak lama kemudian anggota bomba dan pasukan penyelenggara lif tiba untuk membuka pintu dan keluarkan kami,” katanya.

Berita Harian X