Sabtu, 3 Ogos 2019 | 6:04pm
Khalid menemui mangsa di PPR Kerinchi, hari ini. - Ihsan Twitter Khalid Samad

Kejadian di luar jangka - Khalid

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, menyifatkan kejadian lif jatuh yang menyebabkan lapan mangsa cedera di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, semalam, kejadian di luar jangkaan.

Beliau berkata, lif berkenaan diselenggarakan dengan baik setiap tahun dan mempunyai sijil sah sehingga Januari tahun hadapan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Berhubung kemalangan ini, siasatan masih dijalankan oleh JKKP, malah pembuat lif dari Korea akan turut bersama-sama melakukan siasatan forensik mereka sendiri bagaimana kejadian seperti ini boleh berlaku.

“Secara teorinya, ia tidak sepatutnya terjadi kerana lif berkenaan mempunyai ciri-ciri keselamatan, antaranya ‘safety gear’ iaitu brek yang akan mencengkam secara automatik,” katanya kepada pemberita ketika hadir menemui mangsa di PPR Kerinchi di sini, hari ini.

Khalid berkata, jika penduduk mahu lif yang baharu, pihaknya akan mengambil tindakan bergantung kepada keputusan siasatan.

“Lif terbabit berusia 12 tahun dan sejak dari itu, pintu lif berkenaan sudah ditukar beberapa kali.

“Saya sudah mohon Datuk Bandar (Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan) agar melakukan siasatan terperinci dan penyelenggaraan pada setiap lif yang seusia dengan lif itu, agar kejadian seperti ini tidak lagi berulang,” katanya.

Semalam, BH melaporkan lapan cedera apabila lif yang mereka naiki di PPR Kerinchi, terhempas dari tingkat lima dipercayai akibat sistem brek tidak berfungsi, jam 2.30 petang semalam.

Sebelum kejadian, difahamkan 10 penghuni PPR itu menaiki lif berkenaan dari tingkat bawah tanah dan berhenti di tingkat lima apabila seorang daripada mereka keluar, sebelum lif itu tiba-tiba gagal berfungsi dan terhempas.

Berita Harian X