Sabtu, 3 Ogos 2019 | 4:45pm
Bom tangan lama yang dijumpai seorang kanak-kanak di sungai Kampung Buso di Bau berjaya dimusnahkan oleh UPB IPK Sarawak, semalam. - Ihsan PDRM

Bom tangan lama dimusnahkan

BAU: Bom tangan lama yang ditemui seorang kanak-kanak di sungai berhampiran Kampung Buso, di sini dimusnahkan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon, berkata bom itu dimusnahkan kira-kira jam 10.30 pagi, dengan operasi berkenaan mengambil masa kira-kira 30 minit.

“Kita tidak dapat mengenal pasti jangka hayat bom itu kerana maklumat berkaitannya sudah hilang dan ditemui dalam keadaan berkarat,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Poge berkata, bom berkenaan dijumpai seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun pada jam 5.30 petang ketika mandi di sungai terbabit, Khamis lalu.

“Kanak-kanak itu kemudiannya memaklumkan penemuan itu kepada bapa saudaranya sebelum laporan polis dibuat pagi semalam.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota UPB IPK Sarawak datang ke lokasi pada jam 10 pagi untuk melakukan pemusnahan,” katanya.

146 dibaca
Berita Harian X