Sabtu, 3 Ogos 2019 | 3:08pm
Penduduk terpaksa menunggu lif yang lama disebabkan lif sedia ada rosak ketika tinjauan di PPR Kerinchi, Kuala Lumpur. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Insiden lif PPR: Penduduk harap pihak berkaitan buka mata

KUALA LUMPUR: Insiden lif meluncur ke bawah di Blok C, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini, petang semalam, diharap membuka mata pihak berkaitan terhadap masalah lif yang kritikal dihadapi penduduk.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, lapan orang cedera apabila lif yang dinaiki dari tingkat lima, jatuh ke bawah dipercayai akibat sistem brek tidak berfungsi.

Pengerusi Penduduk Blok C PPR berkenaan, Yusoff Ibrahim, 69, berkata sebelum ini sudah banyak aduan dibuat penduduk mengenai kerosakan lif kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Penduduk, Yusoff Ibrahim. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Bagaimanapun, katanya, tindakan yang diambil disifatkan sebagai penyelesaian sementara, bukan untuk jangka masa panjang.

“Kita gesa, bila (berlaku) kejadian semalam pihak berkaitan kena buka mata, masalah lif di sini amat serius, penduduk sini bersyukur tiada yang menjadi korban semalam.

“Lif selalu rosak, bila buat aduan ada pihak yang datang baiki, namun rosak balik, pernah juga kesemua tiga lif rosak, terpaksa menggunakan tangga, kita minta supaya ada tindakan lebih proaktif selepas ini.

“Kita minta semua lif diganti yang baharu, lif di sini sudah berusia lebih 10 tahun, kemudian buat jadual penyelenggaraan berkala,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, hari ini.


Butang lif yang rosak disebabkan sikap tidak bertanggungjawab segelintir penduduk. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Penduduk, Raihan Abdul Rahim. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Penduduk, Raihan Abdul Rahim, 70, berkata sebelum ini dia memegang kunci lif yang akan digunakan untuk membuka pintu apabila lif tersekat.

“Namun, kunci itu sudah diambil semula oleh DBKL atas alasan untuk menggantikan sistem lif yang baharu dan tidak diberi semula sehingga sekarang.

“Bila ada wakil atau ketua blok yang pegang kunci, senang kita nak bertindak bila ada kejadian tersekat dalam lif.

“Selepas kejadian semalam, ada penduduk yang fobia menggunakan lif, kita gesa ada tindakan segera dilakukan, bukan sahaja untuk PPR Kerinchi malah untuk semua PPR di Kuala Lumpur,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Roszimi Mohd Rozali, 51, berkata penduduk tidak mahu melihat akhirnya ada nyawa yang menjadi korban akibat masalah lif.


Penduduk, Roszimi Mohd Rozali. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Penduduk menggunakan lif biasa di Blok C PPR Kerinchi. - NSTP/Hafiz Sohaimi

“Kalau lif ini boleh bercakap, pasti dia beritahu dia sudah tidak larat, lif sini sudah wajib ditukar tidak boleh dibaiki lagi, saya sendiri pernah tersekat dalam lif beberapa kali.

“Tolonglah buka mata, tengok sendiri betapa serius masalah lif di sini, kami mahu penyelesaian segera dan penyelesaian jangka panjang, jangan sampai ada korban nyawa,” katanya.

Semalam, lapan cedera apabila lif yang mereka naiki di PPR Kerinchi, terhempas dari tingkat lima dipercayai akibat sistem brek tidak berfungsi, jam 2.30 petang.

Sebelum kejadian, difahamkan 10 penghuni PPR itu menaiki lif berkenaan dari tingkat bawah tanah dan berhenti di tingkat lima apabila seorang daripada mereka keluar, sebelum lif itu tiba-tiba gagal berfungsi dan terhempas.

Berita Harian X