Sabtu, 3 Ogos 2019 | 11:57am

10 mat rempit kena cekup

IPOH: Motosikal menggunakan tayar kecil dan tiada brek hadapan bagi mendapatkan kelajuan maksimum untuk berlumba haram antara yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di sekitar bandar raya ini, awal pagi tadi.

Operasi dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, JSPT Perak dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, bermula jam 11 malam hingga 6 pagi itu menahan 10 penunggang yang dikesan berlumba haram.

Pegawai Turus Operasi Lebuhraya Zon Tengah A, Bukit Aman, Asisten Superintendan Nasyrul Ridzuan Abdul Razak, berkata operasi membabitkan enam pegawai dan 42 anggota itu dilaksanakan berikutan aduan orang ramai mengenai kegiatan lumba haram, terutama pada malam minggu sekitar Ipoh.

Katanya, serbuan dijalankan di tiga lokasi berasingan membabitkan kawasan Falim, Jelapang dan Stesen 18 yang berjaya memberkas 10 lelaki berusia antara 19 hingga 27 tahun yang dikesan menunggang secara berbahaya dan berlumba haram.

“Sebanyak 58 saman dikeluarkan terhadap kesemua mat rempit terbabit atas pelbagai kesalahan trafik antaranya mengubah suai motosikal, tiada nombor pendaftaran kenderaan dan tiada lesen.

“Antara motosikal ditahan adalah Yamaha model Y15ZR atau lebih dikenali dengan gelaran Y-suku yang sudah diubah suai dan penunggangnya dikesan melakukan aksi ‘superman’ sekitar bandar raya ini.

“Motosikal lain yang ditahan untuk pemeriksaan adalah Honda EX5 dan Yamaha 125Z yang kesemuanya dipercayai sudah diubah suai untuk kegiatan lumba haram,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Trafik IPD Ipoh, hari ini.

Nasyrul Ridzuan berkata, pemeriksaan juga mendapati hanya dua daripada 10 penunggang yang ditahan, memiliki lesen dan seorang daripada penunggang yang ditahan cedera pada tangan, kaki dan dagu akibat terjatuh ketika cuba melarikan diri daripada ditahan polis.

“JSPT Bukit Aman sering mendapat aduan awam berhubung kegiatan lumba haram di sekitar Ipoh dan susulan itu kami membuat perancangan terperinci dan bekerjasama dengan JSPT Perak dan BSPT Ipoh yang menyasarkan kegiatan mat rempit,” katanya.

SEBAHAGIAN mat rempit yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di sekitar bandar Ipoh. - Foto Muhammad Apendy Issahak
Berita Harian X