Sabtu, 3 Ogos 2019 | 8:18am

Alhamdulillah semua selamat

DUNGUN: Tiga pekerja resort yang dilaporkan hilang di kawasan perairan Pulau Tenggol pada Rabu lalu ditemui selamat pagi ini.

Bot gentian kaca yang dikendalikan Fauzi Mohamad, 40; Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25 serta pekerja resort, Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22, ditemui kira-kira jam 1 pagi.

Bot berkenaan, yang dipercayai mengalami kerosakan enjin dan hanyut itu ditemui pada jarak kira-kira 112 batu nautika dari perairan Dungun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohamad Zohan Seman, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan itu.

Menurutnya, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun menerima panggilan kira-kira jam 1 pagi daripada seorang penyelia pelantar minyak Bunga Orkid milik PETRONAS yang memaklumkan penemuan tiga mangsa.


PENDUDUK Kampung Pulau Serai mengadakan solat hajat di Jeti Kampung Rajawali, Pulau Serai, malam tadi. - Foto Rosli Ilham

“Penyelia terbabit memaklumkan sebuah kapal nelayan milik warga Thailand membawa tiga mangsa ke pelantar berkenaan selepas bot yang mereka dinaiki mengalami kerosakan.

“Ketiga-tiga mangsa mengaku mereka adalah pekerja sebuah syarikat di Pulau Tenggol dan mereka dilaporkan sihat,” katanya ketika dihubungi di sini, pagi ini.

Menurutnya, semua mangsa kini berada di pelantar minyak berkenaan untuk mendapatkan rawatan termasuk diberi makanan dan minuman.

“Saya dimaklumkan pihak, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan mengambil tindakan dengan menggerakkan aset untuk mengambil mangsa.

“Kita sedang menunggu mangsa tiba dan setakat ini masih belum dipastikan sama ada mereka akan dibawa terus ke Kuala Terengganu atau Dungun.


TIGA mangsa bot yang hilang ke pulau Tenggol, Dungun diselamatkan nelayan Thailand dan dibawa ke pelantar minyak Orkid. APMM dalam usaha mengambil mangsa. - Foto ihsan APMM

“Dengan penemuan mangsa, pusat gerakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dibuka di Jeti Kampung Rajawali Pulau Serai ditutup,” katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, bot pelancong dinaiki dua pemandu bot serta seorang pekerja resort tidak sampai ke resort Pulau Tenggol selepas berlepas dari jeti Kampung Rajawali Pulau Serai, pada 12 tengah hari.

Mereka dikatakan dalam perjalanan menghantar bekalan makanan ke resort berkenaan.

Kehilangan mereka menyebabkan pihak pengurusan resort membuat laporan di IPD Dungun pada jam 4 petang.

Berita Harian X