Jumaat, 2 Ogos 2019 | 7:09pm

Anggota MPV tahan lelaki mengamuk

KLANG: Tindakan pantas anggota unit peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berjaya menahan cubaan seorang lelaki tempatan yang cuba menyerang orang awam dan polis menggunakan sebilah pisau pemotong sayur, di Lorong Batu Nilam 1C, di sini, pagi tadi.

Penganggur berusia 35 tahun itu turut bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan ketika anggota polis menahannya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata dalam kejadian jam 11.30 pagi tadi, suspek mengamuk dan membuat kacau serta cuba menyerang orang awam dengan menggunakan sebilah pisau.

“Setibanya di lokasi kejadian, polis mendapati seorang lelaki memegang sebilah pisau berada dalam keadaan marah dan cuba menyerang orang awam.

“Polis cuba menenangkan suspek dan mengarahkannya supaya membuang pisau itu tetapi lelaki terbabit enggan dan masih bertindak agresif terhadap polis dan orang awam.

“Semasa cuba menahan suspek, dia bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dan suspek mengalami luka di bahagian muka, telinga, lutut, mulut dan dagu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shamsul Amar berkata, suspek berserta sebilah pisau yang dirampas dibawa ke IPD Klang Selatan untuk tindakan selanjutnya.

“Suspek dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk dapatkan rawatan sebelum dibawa ke lokap.

“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau. Lelaki itu dipercayai sudah dua bulan tidak bekerja selepas berhenti kerja dari sebuah kilang elektronik.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Merbahaya 1958,” katanya.

Berita Harian X