Jumaat, 2 Ogos 2019 | 3:11pm
Bot dalam perjalanan ke Pulau Tenggol dipukul ombak dipercayai tiga mangsa hilang. - Foto Rosli Ilham

Pekerja resort hilang: Pencarian diperluas

DUNGUN: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) memperluas radius pencarian bagi mengesan tiga pekerja resort yang masih belum ditemui.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid, berkata operasi yang masuk hari kedua merangkumi kawasan pencarian sehingga ke perairan Kemaman dan Marang.

Beliau berkata, operasi SAR membabitkan 66 anggota terdiri daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, polis, Jabatan Perikanan, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Polis Marin.

“Enam aset Maritim digerakkan dalam pencarian itu. Selain itu, kita turut dibantu tiga bot resort, sebuah bot Jabatan Perikanan, dua bot polis dan empat bot nelayan.

“Selain operasi pencarian di tengah laut, operasi juga ditumpukan di sekitar pulau-pulau kecil seperti Pulau Nyireh, Pulau Tokong Burung dan Pulau Tokong Daik,” katanya.

Rashidilhadi berkata, keadaan cuaca yang berjerebu serta ombak dan arus deras menganggu operasi SAR.

“Biarpun masih belum mendatangkan hasil, pasukan operasi akan terus dipertingkatkan sehingga semua mangsa ditemui,” katanya.


Daro loro; pemandu bot Fauzi Mohamad, 40, Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25 dan pekerja resort di Pulau Tenggol Mohamad Hafiz Abd Rahim dikhuatiri hilang bot dipukul ombak dalam perjalanan dari Kuala Dungun ke Pulau Tenggol Rabu lalu. - Foto Rosli Ilham

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha-Pengusaha Perikanan Laut Dalam Pantai Timur (PELAUD), Datuk Seri Mohd Zakaria Nawang, berkata pihaknya sudah mengarahkan semua bot nelayan di sekitar kawasan terbabit membantu pihak berkuasa mengesan mangsa.

“Kita turut meminta bantuan pengusaha di Kelantan dan Pahang bagi tujuan yang sama.

“Kita minta semua mereka yang menemui mangsa atau bot mangsa, termasuk barang yang terapung agar segera menghubungi pihak berkuasa.

“Setakat petang ini, laporan yang kami terima tidak menemui sebarang petunjuk,” katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, bot pelancong dinaiki dua pemandu bot termasuk seorang pekerja resort gagal tiba ke resort Pulau Tenggol selepas berlepas dari jeti Kampung Rajawali Pulau Serai, kira-kira jam 12 tengahari.

Mereka ialah Fauzi Mohamad, 40, Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25, dan Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22, dalam perjalanan menghantar bekalan makanan ke resort.

Kehilangan ketiga-tiga mereka menyebabkan pihak pengurusan resort membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun kira-kira jam 4 petang.

Berita Harian X