Khamis, 1 Ogos 2019 | 7:28pm
BEKAS Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Jho Low bohong, beritahu duit SRC masuk akaun Najib adalah derma

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low cuba memperdayakan pegawai Ambank dengan menyatakan wang berjumlah RM27 juta dipindah masuk dalam akaun peribadi semasa Datuk Seri Najib Razak, adalah wang derma.

Bagaimanapun, wang itu sebenarnya adalah daripada akaun SRC International Sdn Bhd (SRC) iaitu anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu, yang dirujuk dengan log perbualan pesanan ringkas Blackberry antara beliau dan Jho Low, bersetuju dengan peguam Harvinderjit Singh, bahawa wang SRC berjumlah RM27 juta itu yang dimasukkan dalam akaun Najib berakhir dengan nombor akaun 880.

Menjawab soalan Harvinderjit sama ada wang itu yang digelar Jho Low sebagai ‘Eagle 27’ dipindahkan ke dalam akaun Najib atas arahan Jho Low, saksi ke-54 pendakwaan itu menjawab, ‘Ya’.

Harvinderjit: Jadi, wang RM27 juta itu sebenarnya adalah daripada SRC?

Joanna: Ya.

Harvinderjit: Beliau (Jho Low) cuba beritahu mengenai derma ini, jadi kamu akan letak ‘hadiah’ atau ‘derma’ pada surat arahan pindahan?

Joanna: Kami akan letak begitu kalau duit dalam mata wang asing saja.

Harvinderjit: Jho Low tahu ke mengenainya?

Joanna: Saya tidak rasa dia tahu.

Harvinderjit: Jho Low cuba perdaya supaya kamu percaya duit itu bukan daripada SRC. Itu penipuan kan?

Joanna: Ya

Harvinderjit: Bukan ke ini satu penipuan ketara dan nyata?

Joanna: Ya, tapi...

Pada peringkat itu, Harvinderjit memotong keterangan saksi menandakan beliau tidak mahu penjelasan lanjut.

Harvinderjit: Jho Low cuba memperdayakan kamu jadi kamu tidak tahu duit yang masuk dalam akaun Najib, berasal daripada akaun SRC?

Joanna: Beliau cuba beritahu saya.

Harvinderjit: Tidak, dia cuba buat kamu percayakan itu kan?

Joanna: Ya.

Terdahulu, Joanna mengesahkan bahawa RM35 juta daripada SRC dipindah masuk ke dalam akaun syarikat pembinaan Putra Perdana Construction Sdn Bhd dan RM34.99 juta dimasukkan ke dalam akaun Permai Binaraya Sdn Bhd.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Isnin depan.

Gambar fail, Jho Low.

Berita Harian X