Khamis, 1 Ogos 2019 | 5:11pm
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya (kanan) pada sidang media selepas Program Melaka Tolak Rasuah Peringkat Negeri Melaka Sempena Tahun Melawat Melaka 2019 di Menara Taming Sari. - NSTP/Rasul Azli Samad

Gaji rendah bukan punca rasuah - Latheefa

MELAKA: Tiada jaminan perbuatan rasuah mampu berkurangan dalam kalangan penjawat awam negara ini, walaupun gaji mereka dinaikkan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, berkata alasan gaji rendah bukanlah isu utama, sebaliknya perbuatan rasuah boleh berlaku atas pelbagai faktor.

“Saya rasa dia (penjawat awam) kena ada dalam konteks, ada isu yang membabitkan sesetengah agensi penguatkuasaan yang merasakan mungkin kerana gaji yang rendah menyebabkan ada satu keinginan untuk terjebak (rasuah).

“Tapi kita tak boleh kata hanya sebab gaji rendah, maka dia (penjawat awam) itu akan terjebak rasuah. Tak semestinya, kerana kita kena lihat keseluruhan situasi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyertai Program Melaka Tolak Rasuah Peringkat Negeri Melaka Sempena Tahun Melawat Melaka 2019 di Menara Taming Sari. Hadir sama, Ketua Menteri, Adly Zahari dan Pengarah SPRM negeri, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata dalam setiap tindakan atau siasatan dilakukan, SPRM melihat dari pelbagai sudut apakah yang menyebabkan peluang berlakunya rasuah.

“Jika pelaku rasuah melihat tempat itu adalah satu lubuk, sama ada dia penerima atau pemberi, di situlah kita kena lihat apakah elemen yang menyebabkan dia terjebak rasuah.

“Kita kena keluarkan elemen itu, mungkin (elemen) pertemuan satu dengan satu, kita kena lebih telus kerana hanya dengan lebih ketelusan, maka kuranglah rasuah itu berlaku,” katanya.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, baru-baru ini mencadangkan supaya gaji anggota polis berpangkat rendah iaitu daripada sarjan ke bawah dinaikkan dalam usaha mengurangkan bebanan kos sara hidup, sekali gus meningkatkan moral integriti mereka.

Beliau berkata hanya peningkatan gaji mereka mampu mengurangkan risiko rasuah dan menepis godaan melakukan kesalahan mengugut orang lain untuk mendapatkan duit.

Cadangan itu turut disokong Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, yang meminta langkah itu disegerakan demi meningkatkan aspek integriti dalam kalangan anggota polis.

Berita Harian X