Khamis, 1 Ogos 2019 | 11:10am
BOT pelancong yang dinaiki tiga pekerja (gambar kecil) sebuah resort di Pulau Tenggol belum di jumpai. NSTP/Rosli Ilham

Operasi SAR 3 individu hilang diperluaskan

DUNGUN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga pekerja resort yang hilang di perairan Pulau Tenggol, dipergiatkan hari ini.

Seramai 100 anggota termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan kakitangan resort terbabit dalam usaha itu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata usaha mengesan bot serta semua mangsa dilakukan bermula jam 7.30 pagi, membabitkan radius pencarian sehingga 10 batu nautika dari perairan Pulau Tenggol.

“Kita turut mendapat bantuan dua kapal Maritim Malaysia, dua bot ronda Pasukan Polis Marin serta empat bot pengusaha resort terbabit.

“Pasukan polis dan JBPM pula digerakkan bagi melakukan pencarian di sekitar pesisir pantai termasuk muara Kuala Dungun sehingga ke Pantai Sura Hujung,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Malaysia Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bantuan unit udara akan digunakan dalam operasi pencarian itu dan setakat ini tiada petunjuk mengenai mangsa.

“Kita tidak menolak kemungkinan bot mereka karam dipukul ombak berikutan keadaan laut bergelora,” katanya.

Semalam, akhbar melaporkan bot pelancong dinaiki mangsa iaitu dua pemandu bot dan seorang pekerja resort tidak sampai ke resort Pulau Tenggol selepas berlepas dari jeti Kampung Rajawali Pulau Serai, kira-kira jam 12 tengah hari.

Mangsa, Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22; Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25, dan Fauzi Mohamad, 40, dikatakan dalam perjalanan menghantar bekalan makanan ke resort terbabit.

Kehilangan mereka menyebabkan pihak pengurusan resort membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, jam 4 petang.

Berita Harian X