Rabu, 31 Julai 2019 | 10:12pm
Bot dalam perjalanan ke Pulau Tenggol dilanda ombak, Mohamad Hafiz Abd Rahim (kiri), Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin (tengah) dan Fauzi Mohamad dikhuatiri hilang di Perairan Kuala Dungun. - NSTP/Rosli Ilham

3 pemandu bot dikhuatiri hilang

DUNGUN: Tiga pemandu bot termasuk seorang pekerja sebuah resort di Pulau Tenggol dikhuatiri hilang di Perairan Kuala Dungun di sini, hari ini.

Difahamkan, tiga individu terbabit, Fauzi Mohamad, 40, Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25, dan Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22, keluar dari jeti di Kampung Rajawali Pulau Serai, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, mereka yang sepatutnya tiba di Pulau Tenggol sejam selepas melakukan perjalanan dengan bot itu gagal dikesan sebelum pihak pengurusan resort terbabit membuat laporan polis, kira-kira jam 4 petang.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, pihaknya dimaklumkan tiga mangsa terbabit menaiki bot gantian kaca yang membawa barangan makanan untuk dihantar ke pulau berkenaan.

“Pihak pengurusan resort juga sudah beberapa kali cuba menghubungi kesemua mangsa tapi gagal.

“Dua daripada mangsa iaitu Fauzi Mohamad dan Mohamad Hafiz berasal dari Kampung Baru Kuala Abang di sini, manakala seorang lagi iaitu Muhammad Firdaus, berasal dari Kampung Parit Ibrahim Masjid, Simpang Renggam, Johor,” katanya.

Menurutnya, pihak polis juga sudah meminta kerjasama daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun serta Angkatan Pertahanan Awam APM untuk bantuan mencari mangsa.

Katanya, pasukan mencari dan menyelamat juga sudah membuka bilik gerakan bagi mencari mangsa.

“Sepanjang hari ini, keadaan laut dilaporkan bergelora dengan ombak kuat disusuli angin kencang.

“Kami masih belum dapat mengenal pasti punca kejadian sama ada bot dinaiki mangsa karam dipukul ombak atau mengalami kerosakan enjin dan hanyut,” katanya.

Berita Harian X