Rabu, 31 Julai 2019 | 8:32pm
TAN Sri Muhammad Shafee Abdullah (kiri) ketika ditemui di Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Mahkamah ketepi kebenaran mulakan prosiding komital terhadap Muhammad Shafee

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan kebenaran diperoleh Peguam Negara, Tommy Thomas, untuk memulakan prosiding komital terhadap peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Ini susulan keputusan Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril, membenarkan permohonan Muhammad Shafee untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Peguam Negara, berhubung kenyataannya kepada media berkaitan kes bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohd Firuz, dalam penghakimannya berkata saman pemula yang difailkan Peguam Negara itu kurang butiran berhubung tuduhan menghina mahkamah terhadap Muhammad Shafee.

“Orang yang dituduh menghina mahkamah harus tahu dengan tepat apakah pertuduhan yang dihadapinya. Peguam Negara mesti menyatakan secara adil dan sejelas-jelasnya kata-kata yang didakwa dituturkan oleh Muhammad Shafee,” kata beliau.

Hakim juga mendapati bahawa kata-kata yang didakwa diucapkan itu tidak secara sengaja dituturkan oleh Muhammad Shafee tetapi hanya menjawab soalan yang dibangkitkan oleh seorang wartawan.

Mahkamah juga memerintahkan Peguam Negara membayar kos RM30,000 kepada Muhammad Shafee yang dinamakan sebagai defendan dalam saman pemula itu.

Pada 1 Mac, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Tommy untuk memulakan prosiding terhadap Muhammad Shafee kerana menghina mahkamah.

Dalam permohonan yang difailkan pada Februari tahun ini, Tommy berkata Muhammad Shafee adalah seorang peguambela dan peguamcara mewakili Najib yang didakwa atas beberapa kesalahan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata pada 7 Februari 2019, selepas selesai prosiding mahkamah membabitkan Najib di Mahkamah Tinggi, defendan ditemubual beberapa wartawan di luar kamar mahkamah, yang dirakam oleh seorang juruvideo dari Kinitv.com dan disiarkan menerusi KiniTV yang boleh dilayari melalui https://m.kinitv.com/video/70311O8.

Tommy mendakwa defendan tahu atau sepatutnya mengetahui kenyataan yang menyinggung perasaan itu adalah bersifat menghina terhadap hakim dan akan menjejaskan pelaksanaan keadilan serta menghakis kepercayaan orang ramai terhadap sistem kehakiman di Malaysia.

Beliau seterusnya berkata dengan mempertimbangkan kata-kata itu secara keseluruhannya, ia secara munasabah memberi tanggapan kepada orang awam bahawa jika tertuduh disabitkan dengan kesalahan itu, hakim perbicaraan adalah tidak betul, hakim dipengaruhi, saksi diajar dan bukti direka-reka.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, memberitahu pemberita beliau akan mendapatkan arahan daripada Peguam Negara sama ada untuk merayu terhadap keputusan itu. - BERNAMA

1515 dibaca
Berita Harian X