Rabu, 31 Julai 2019 | 5:32pm
Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping antara saksi yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi bagi prosiding perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak. - Foto BERNAMA

Saksi guna wang sendiri selaras akaun Najib

KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping, yang mengendalikan akaun semasa milik Datuk Seri Najib Razak, terpaksa menggunakan wangnya sendiri sebanyak RM55,000 bagi menyelaraskan akaun milik bekas Perdana Menteri itu.

Joanna, 48, berkata beliau terpaksa menggunakan wangnya sendiri berikutan akaun Najib yang berakhir dengan nombor 906 mempunyai pengeluaran berlebihan kerana terdapat cek berjumlah RM80,000 yang dikeluarkan tanpa baki mencukupi tahun 2014.

Saksi ke-54 pendakwaan yang memberi keterangan pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd, berkata perkara itu dilakukan bagi mengelakkan cek berjumlah RM80,000 terbabit ditendang.

Dalam keterangannya, Joanna berkata tindakan itu dilakukan selepas beliau gagal mendapatkan wang daripada setiausaha kepada ahli perniagaan yang menjadi buruan pihak berkuasa Low Taek Jho atau Jho Low, iaitu Josie dan sekutunya, Kee Kok Thiam.

Menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, sama ada beliau menghubungi Jho Low dan memaklumkan mengenai wang yang perlu dimasukkan ke dalam akaun Najib, Joanna menjawab: “Ya“

Harvinderjit : Jho Low kemudian mengarahkan anda menghubungi Kee Kok Thiam untuk mendapatkan dana namun dimaklumkan beliau berada di Melaka?

Joanna : Ya

Joanna berkata Jho Low kemudian mengarahkannya untuk menghubungi Josie namun memaklumkan wang itu hanya boleh dimasukkan keesokan hari.

Joanna kemudian bersetuju dengan cadangan Harvindejit bahawa beliau memberitahu Josie untuk menggunakan wangnya sendiri.

Harvinderjit: Saya cadangkan RM55,000 itu adalah wang anda dan Josie membayar balik keesokan harinya?

Joanna: Ya.

Pada perbicaraan itu, Harvinderjit turut membacakan butiran perbualan antara Jho Low dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Putra Perdana, Jerome Lee, pada tahun 2014.

Dalam perbualan itu, dinyatakan bahawa Joanna meminta supaya wang dimasukkan ke dalam akaun Najib bagi memastikan cek RM5 juta yang dikeluarkan kepada parti UMNO tidak ditendang.

Perbualan pada 10 September 2014 itu juga menyatakan bahawa Joanna memberitahu bahawa RM3.8 juta perlu dimasukkan ke akaun Najib yang berakhir dengan nombor 906 selewat-lewatnya pada jam 3 petang pada hari itu.

Sekiranya gagal berbuat demikian, cek RM5 juta itu perlu dikembalikan semula.

Dalam perbualan sama, Jho Low kemudian memberitahu Joanna untuk menghubungi Jerome Lee bagi memindahkan wang ke dalam akaun berkenaan.

Joanna kemudian menghubungi Jerome Lee sehingga wang RM5 juta dipindah masuk ke akaun Najib dari akaun Allianz Bank Putra Perdana Berhad (PPB).

Petikan perbualan itu juga mendedahkan, Jho Low mengarahkan Joanna untuk memaklumkan kepada Jerome Lee supaya tidak melakukan pemindahan wang daripada akaun AmBank PPB.

Berita Harian X