Rabu, 31 Julai 2019 | 11:53am

Remaja buat laporan palsu nyaris diculik

KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki membuat laporan palsu mendakwa dirinya cuba diculik seorang lelaki bertopeng yang keluar dari van putih di Kubang Kerian, di sini, malam tadi, semata-mata mahu bergurau dengan rakannya.

Remaja berusia 13 tahun itu mendakwa kejadian berlaku jam 7.30 malam ketika dia menunggang basikal dari rumah rakan untuk pulang ke rumahnya di lokasi berdekatan sebelum bajunya ditarik lelaki tidak dikenali yang keluar dari kenderaan bercermin gelap.

Namun, tindakan lelaki itu tidak berjaya sebelum remaja itu membuat laporan polis yang mendakwa dirinya cuba diculik.

Kejadian itu tular di laman Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak malam tadi yang membuatkan ibu bapa dan masyarakat risau dengan keselamatan anak-anak mereka.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata polis menerima laporan dibuat remaja itu yang mendakwa dirinya diculik.

Katanya, siasatan mendapati kejadian itu tidak wujud seperti mana yang ditularkan.

“Pelajar berkenaan sudah diambil keterangan dan memberitahu bahawa dia hanya bergurau dengan rakan sekolah tanpa menyedari bahawa gurauan itu ditularkan.

“Ia digambarkan seolah-olah kejadian cubaan culik benar-benar berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, laporan palsu yang dibuat boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Katanya, masyarakat yang menyebar berita palsu sehingga meresahkan masyarakat juga boleh didakwa mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada bergantung kepada bentuk penyebaran.

“Kita menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat laporan polis sewenang-wenangnya kerana jika laporan itu palsu, ia adalah satu kesalahan undang-undang, selain menyusahkan pihak polis dengan perkara yang tidak benar.

“Masyarakat perlu mendapatkan kepastian daripada polis mengenai sesuatu kejadian sebelum ditularkan kerana ia adalah satu kesalahan serta merisaukan orang ramai dengan perkara yang tidak berlaku,” katanya.

1214 dibaca
Berita Harian X