Isnin, 29 Julai 2019 | 5:55pm
BEKAS Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin

Najib terima AS$369 juta

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu sejumlah AS$369.99 juta dipindahkan ke akaun Ambank Datuk Seri Najib Razak antara 2011 dan Januari 2013.

Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping, 48, dalam keterangannya pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd (SRC) yang dihadapi Najib, berkata wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun yang berakhir dengan nombor 694 milik bekas Perdana Menteri itu.

Saksi ke-55 pendakwaan itu berkata jumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaun berkenaan adalah bersamaan dengan RM1.13 bilion.

Terdahulu di awal prosiding, Joanna memberitahu mahkamah, Najib turut menerima AS$100 juta menerusi empat transaksi pada 2011.

Joanna berkata transaksi itu membabitkan AS$10 juta sebanyak dua kali, AS$50 juta dan AS$30 juta.

Ketika menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib sama ada AS$50 juta yang diterima itu adalah daripada Bank Pusat Saudi, Joanna menjawab: “Ya.”

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada transaksi itu turut membabitkan pemindahan daripada Kementerian Kewangan Riyadh, Joanna, berkata “beliau tidak ingat.”

“Jumlah AS$100 juta itu dipindahkan ke dalam akaun semasa Najib yang berakhir dengan nombor 694 pada 2011,” katanya pada perbicaraan kes yang masuk hari ke-55.

Pada perbicaraan kes itu juga, Joanna memberitahu mahkamah bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low, memainkan peranan penting dalam membuat keputusan membabitkan akaun Najib.

Sebaliknya, tambah Joanna, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, yang dilantik sebagai pemegang mandat, hanya menjalankan arahan Jho Low.

Beliau turut bersetuju dengan cadangan Harvinderjit, bahawa arahan mengenai pengurusan memasukkan dana ke akaun Najib datang daripada Jho Low dan Nik Faisal hanya melaksanakannya melalui prosedur formal.

Sementara itu, ketika ditanya oleh Harvinderjit sama ada beliau cuba menyembunyikan maklumat mengenai kemasukan dana ke dalam akaun Najib antara 2011 hingga 2013, Joanna menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai alasan untuk berbuat demikian.

Harvinderjit: Ramai pihak yang mengetahui mengenai kemasukan itu.

Joanna: Ya, terdapat bos dan jabatan lain yang turut menguruskan akaun berkenaan.

Joanna juga menegaskan bahawa Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, pada ketika itu turut mengetahui mengenai transaksi itu.

Pada perbicaraan itu, mahkamah turut diperkenalkan dengan jolokan baharu bagi mata wang Dolar Amerika Syarikat (AS) dan Ringgit Malaysia (RM) apabila Harvinderjit membangkitkan istilah berkenaan.

Joanna memberitahu mahkamah, Jho Low menggunakan istilah pai untuk merujuk kepada Dolar AS dan sate bagi RM ketika mereka berkomunikasi.

Harvinderjit: Mengapa gunakan istilah pai dan sate ini?

Joanna: Ia digunakan oleh Jho Low dalam perbualan kami menerusi BBM (pesanan Blackberry)

Harvinderjit: Kamu faham istilah itu?

Joanna: Ya.

Harvinderjit: Pai ialah Dolar AS (merujuk daripada Filem American Pie) dan sate ialah Ringgit?

Joanna: Ya.

Berita Harian X