Isnin, 29 Julai 2019 | 3:57pm
TIMBALAN Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah

Pemalsuan dokumen, pegawai pendaftar JPN antara yang ditahan

KOTA KINABALU: Seorang pegawai pendaftar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) antara tiga lelaki yang ditahan membabitkan sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri di Semporna.

Tangkapan dibuat selepas laporan polis dibuat pada 22 Julai lalu selepas seorang pengadu lelaki berusia 35 tahun mengesyaki seorang suspek menjalankan aktiviti itu melalui tawaran kononnya membantu untuk mendapatkan sijil lahir dan kad pengenalan warganegara Malaysia.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass, berkata ketiga-tiga lelaki itu yang berusia 30 hingga 43 tahun ditahan pada Selasa lalu di sekitar Semporna.

Katanya, turut dirampas daripada mereka antaranya borang daftar kelahiran, bahagian kad pengenalan, 34 cop palsu jabatan kerajaan, klinik kesihatan, hospital, ketua kampung dan pesuruhjaya sumpah.

"Sehingga kini, seorang saksi tampil menggunakan proses daftar kelahiran dilakukan oleh sindiket itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, sindiket itu disyaki menjalankan kegiatan sejak awal tahun lalu dengan menawarkan perkhidmatan daftar sijil lahir dengan bayaran RM3,500 dan daftar kad pengenalan RM6,000.

Zaini berkata, suspek pertama ditahan di kantin sebuah sekolah pada jam 11 pagi Selasa lalu dan menemui pelbagai dokumen serta cop palsu di bilik suspek di Kampung Bugaya.

Beliau berkata, hasil tangkapan pertama membawa kepada dua tangkapan lain pada hari sama termasuk suspek kedua berusia 42 tahun yang bekerja di JPN Cawangan Semporna.

“Tangkapan kedua dibuat di Taman Miramas iaitu membabitkan seorang pegawai pendaftaran Gred 22 JPN Cawangan Semporna dan hasil pemeriksaan di rumahnya berjaya merampas borang daftar kelahiran, borang daftar lewat kad pengenalan, salinan sijil lahir dan fail JPN.

“Manakala dalam tangkapan ketiga membabitkan seorang lelaki 30 tahun yang bekerja sendiri di Kampung Bubul dan berjaya merampas salinan rekod perkembangan kanak-kanak dan salinan resit rasmi daftar lewat kelahiran,” katanya.

Zaini berkata, hasil siasatan awal setakat ini mendapati beberapa dokumen dan cop yang dirampas adalah palsu.

“Antara cop yang didapati palsu adalah dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) cawangan Semporna, cop pejabat Mahkamah Anak Negeri Semporna, cop dan dokumen JPN daerah Semporna dan cop klinik dan kesihatan daerah Semporna.

“Setakat ini, didapati tiada lagi sijil kelahiran atau kad pengenalan berjaya dikeluarkan hasil daripada penggunaan barangan atau dokumen palsu terbabit,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman bermula Rabu lalu sehingga esok untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

2471 dibaca
Berita Harian X