Isnin, 29 Julai 2019 | 1:44pm
Wong Chong Ming.

Polis buru suspek ketiga kes bunuh tukang jahit

BAU: Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang tukang jahit yang mayatnya ditemui di dalam bagasi di Kampung Pengkalan Baik, di sini, 19 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon, berkata lelaki itu dikenali sebagai Wong Chong Ming, 43, dan adalah suspek ketiga kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kami mencari suspek yang beralamat di Lot 937, Jalan Nangka 1, Pujut 1A, Miri, bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Poge berkata, dua suspek kes itu membabitkan seorang lelaki berusia 28 tahun dan wanita berusia 56 tahun sudah ditahan.

“Suspek pertama ditahan pada malam kejadian, manakala suspek kedua pula Sabtu lalu.

“Tempoh reman kedua-dua suspek yang sudah tamat, disambung lima hari bagi suspek pertama dan empat hari bagi suspek kedua,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang ada sebarang maklumat berkenaan suspek ketiga boleh menghubungi Asisten Superintendan Mohd Farid Abd Ghani melalui talian 017-8181299.

Sebelum ini, mangsa berusia 50-an dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi keluarganya.

Setakat ini, telefon bimbit mangsa sudah dijumpai dan polis sedang mengumpulkan lebih banyak bahan bukti berkaitan bagi merungkai kes pembunuhan itu.

407 dibaca
Berita Harian X