Isnin, 29 Julai 2019 | 8:11am
Seorang wanita warga emas maut dan sembilan lagi cedera, termasuk seorang parah, apabila dua kereta berlanggar di Kilometer 10.5 Jalan Beruas - Parit, di Manjung, semalam. - Ihsan Bomba

Warga emas maut, sembilan cedera termasuk seorang parah kemalangan

MANJUNG: Seorang wanita warga emas maut dan sembilan lagi cedera, termasuk seorang parah, apabila dua kereta berlanggar di Kilometer 10.5 Jalan Beruas - Parit, di sini, semalam.

Kemalangan jam 1.16 tengah hari itu membabitkan Proton Persona dan Mercedes Benz C250 yang masing-masing dinaiki lima individu berusia antara satu hingga 87 tahun.

Difahamkan, penumpang hadapan Proton Persona, Sim Fu Oi, 87, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Beruas, manakala pemandu lelaki kereta itu berusia 54 tahun pula parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika Proton Persona terbabit dalam perjalanan dari arah Parit menghala ke Beruas.

Beliau berkata, kereta itu dipercayai masuk ke laluan Mercedes Benz C250 yang datang dari arah bertentangan lalu bertembung.

“Perlanggaran itu menyebabkan Mercedes Benz C250 dinaiki lima individu, berpusing di laluannya sebelum melanggar tiang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Akibat kemalangan itu, penumpang hadapan Proton Persona mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Beruas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Hanif berkata, penumpang belakang Proton Persona membabitkan tiga wanita berusia antara 50 hingga 61 tahun cedera di muka, badan, kaki dan tangan.

“Pemandu Mercedes Benz C250, iaitu seorang lelaki berusia 59 tahun pula cedera ringan di kaki, manakala penumpang hadapan yang juga seorang wanita berusia 60 tahun pula cedera di badan.

“Tiga penumpang belakang masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 34 tahun serta bayi lelaki berumur setahun juga cedera di badan,” katanya.

Muhammad Hanif berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Seri Manjung (HSM), untuk bedah siasat, sementara sembilan yang cedera diberikan rawatan di hospital sama.

Beliau berkata, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X