Ahad, 28 Julai 2019 | 8:11pm
ANGGOTA penyelamat mengusung mayat Muhammad Ukail Raziq Waldan yang lemas ketika mandi sebuah tasik terbiar dekat Taman Widuri, Rawang, petang tadi.

Remaja lemas mandi di tasik terbiar

HULU SELANGOR: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun lemas ketika mandi di sebuah tasik terbiar dekat Taman Widuri, Rawang, di sini, petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Azman Ab Rahman, berkata sebelum itu, mangsa, Muhammad Ukail Raziq Waldan dikatakan pergi ke tasik berkenaan bersama empat rakannya.

“Tasik itu dijadikan penduduk setempat sebagai lokasi rekreasi air dan jarak mangsa mandi pula tidak jauh dari daratan iaitu kira-kira 10 hingga 15 meter.

“Saksi yang juga rakan mangsa memberitahu, mangsa ditolak dua rakannya yang bergurau ketika mereka mandi dan dia (mangsa) tidak timbul selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Azman berkata, pasukan penyelamat yang menerima maklumat kira-kira jam 3.26 petang bergegas ke lokasi kejadian sebelum berjaya menemui mayat mangsa pada jam 4.43 petang.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baru (HKKB) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, memaklumkan sebuah jentera dengan enam anggota dari Balai Bomba Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kejadian itu.

Katanya, tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba Shah Alam turut dikerah bagi membantu mencari mangsa.

Katanya, mayat mangsa ditemui pada jarak kira-kira tujuh meter dari tebing tasik.

778 dibaca
Berita Harian X