Sabtu, 27 Julai 2019 | 10:22pm
Detik anggota TLDM dan APM Manjung berjaya selamatkan tiga beradik dari lemas di Pantai Teluk Batik, Lumut. - NSTP/Ihsan Pembaca

Anggota TLDM, APM selamatkan 3 beradik

LUMUT: Tiga beradik diselamatkan daripada lemas ketika mandi di Pantai Teluk Batik, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Ahmad Kamil Mizan Jamalulail Ahmad Jamalulaid, 8; Nur Insyirah Diniyyah, 11, dan Ameer Sirajuddin Jamalulail , 17, diselamatkan hasil tindakan pantas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Penyelamat Pantai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Manjung dan orang ramai.

Tiga beradik berkenaan datang ke pantai berkenaan bersama keluarga mereka untuk berkelah.

Difahamkan, mereka memakai pelampung ketika mandi, namun tiba-tiba terlepas daripada pelampung itu sebelum dipukul ombak yang menyebabkan tiga beradik itu hampir lemas.

Situasi cemas itu disedari pegawai TLDM berkenaan dan pengunjung yang turut membantu menyelamatkan tiga beradik terbabit.

Pegawai Operasi dan Bencana APM Manjung, Leftenan (PA) Shamsur Shahuddin, berkata pasukan penyelamat pantai APM menerima maklumat berhubung kejadian itu terus bergegas ke lokasi untuk memberi bantuan lanjut.

“Tiga beradik berkenaan mandi di persisiran pantai sebelum secara tiba-tiba mereka terlepas daripada pelampung yang digunakan.

“Tindakan pantas pegawai TLDM yang turut membantu dan anggota pasukan penyelamat pantai APM berjaya menyelamatkan ketiga-tiga mangsa terbabit,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua mangsa berada dalam keadaan stabil, namun seorang daripada mereka dihantar ke hospital kerana masalah asma.

Berita Harian X