Sabtu, 27 Julai 2019 | 11:24am
KHAIRUL Dzaimee Daud

Imigresen sasar 400 PATI sertai B4G

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menyasarkan kira-kira 300 hingga 400 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyertai kumpulan awal program Pulang Ke Negara Asal (Back For Good - B4G) bagi membendung kesesakan di depoh tahanan Imigresen seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata ketika ini pihaknya mempunyai 14 depoh di seluruh negara, yang mampu menampung kira-kira 10,500 PATI.

Bagaimanapun, kata beliau, bilangan PATI yang ditempatkan di depoh terbabit kadang kala mencecah sehingga 11,000 orang dan keadaan itu boleh mendatangkan bahaya kepada mereka.

“Antara bahaya yang dihadapi ialah penyebaran penyakit berjangkit seperti tibi yang dibawa oleh mereka dari negara asal,” katanya kepada Bernama.

Khairul Dzaimee berkata tawaran B4G hanya dibuka kepada PATI yang berada di luar dan tidak ditawarkan kepada mereka yang berada di dalam depoh tahanan.

“Ini kerana PATI yang berada dalam depoh tahanan sudah menjalani hukuman dan akan dihantar pulang ke negara masing-masing,” katanya.

Pada 18 Julai lalu, program B4G bermula 1 Ogos hingga 31 Disember diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bertujuan mengurangkan PATI di negara ini.

PATI berkenaan hanya perlu mendapatkan dokumen pengenalan diri yang lengkap daripada kedutaan besar dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi masing-masing serta menyerahkannya kepada pejabat Imigresen untuk diproses.

Selain itu, mereka perlu menyediakan bayaran kompaun RM700 dan menunjukkan tiket penerbangan ke negara asal bagi tujuan itu. - BERNAMA

424 dibaca
Berita Harian X