Sabtu, 27 Julai 2019 | 11:07am

Suami, isteri parah ditetak

NIBONG TEBAL: Suami isteri parah ditetak sekumpulan tiga lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di Taman Kuang Indah, Sungai Bakap, di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, mangsa lelaki yang berusia 48 tahun ditetak pada bahagian dada, belakang badan dan patah tangan kiri, makala isterinya yang berusia 37 tahun ditetak pada tangan kanan serta kiri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad, berkata ketika kejadian, pasangan terbabit sedang berjalan dari sebuah tokong menuju ke kereta mereka yang diletakkan berhampiran taman perumahan itu.

Katanya, tiba-tiba datang tiga lelaki bersenjatakan parang lalu terus menyerang suami isteri berkenaan sebelum beredar dari lokasi kejadian.

“Difahamkan, kedua-dua mangsa cuba melarikan diri, namun gagal kerana suspek menetak mereka tanpa belas kasihan sehingga mereka tidak bermaya dan lemah.

“Pasangan terbabit kemudian dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut kerana kecederaan dialami agak teruk,” katanya.

Shafee berkata, hasil semakan melalui kamera litar tertutup (CCTV) mendapati ada tiga lelaki bersenjatakan parang panjang menetak pasangan berkenaan.

“Setakat ini, punca kejadian masih dalam siasatan dan kedua-dua mangsa juga mendakwa tidak tahu kenapa suspek menyerang dan menetak mereka.

“Usaha mengesan semua suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata merbahaya,” katanya.

Berita Harian X