Sabtu, 27 Julai 2019 | 10:55am
TINDAKAN pantas penduduk menyelamatkan Rumah Malong dalam kebakaran dipercayai akibat litar pintas di Sungai Melaban, Sare, Sarikei. - Foto Khalid Latip

Penduduk selamatkan rumah panjang dari terbakar

SARIKEI: Tindakan pantas penduduk Rumah Panjang Malong, Sungai Melaban di Sare, di sini memadamkan kebakaran di salah sebuah bilik tidur menggunakan alat pemadam mudah alih berjaya mengelak api dari merebak ke keseluruhan kediaman itu petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Naruddin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.51 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menyalurkan bantuan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kebakaran sudah dipadam oleh salah seorang penghuni dengan menggunakan satu unit pemadam api yang terdapat di rumah panjang berkenaan.


LITAR pintas di suis kawalan kipas menjadi punca kebakaran di Rumah Malong Sungai Melaban Sare, Sarikei. - Foto Khalid Latip

“Kita memuji tindakan pantas penghuni rumah panjang itu kerana berjaya menyelamatkan nyawa dan harta benda seramai 110 orang penduduk di dalamnya. Malah, usaha murni itu juga menghindar rumah 16 pintu ini daripada musnah,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai akibat masalah litar pintas di salah sebuah bilik di rumah panjang berkenaan.

Katanya, bomba bersama syarikat utiliti elektrik, SESCO, mengambil tindakan susulan melakukan pemantauan rapi bagi mengelak kebakaran berulang.

Berita Harian X