Jumaat, 26 Julai 2019 | 7:24pm

Seorang meninggal, 2 parah kemalangan

BINTANGOR: Seorang lelaki maut, manakala dua lagi parah dalam nahas dua kenderaan berhampiran simpang Jalan KJD, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.50 petang, Bruin Sidu, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pasukan paramedik dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Nicholas Belulin, berkata perlanggaran itu membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan lori tangki.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 6.58 petang sebelum 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di tempat kejadian, semua mangsa didapati masih tersepit di dalam Toyota Hilux itu sebelum dikeluarkan.

“Dua mangsa yang parah, termasuk seorang wanita yang masing-masing berusia 32 dan 66 tahun dikejarkan Hospital Sarikei untuk rawatan susulan.

“Pemandu lori bersama kelindan bagaimanapun terselamat dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berdasarkan siasatan awal, lori terbabit dipercayai dalam perjalanan menghala ke Sibu ketika kejadian, manakala Toyota Hilux pula dari arah bertentangan.

Namun, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan polis.

429 dibaca
Berita Harian X