Jumaat, 26 Julai 2019 | 6:29pm
Tommy Thomas (kiri) dan Datuk Seri Najib Razak. - Foto NSTP

Pendakwa Raya fail permohonan rasmi minta Najib mohon maaf

KUALA LUMPUR: Pendakwa Raya semalam mengemukakan permohonan rasmi bagi menuntut Datuk Seri Najib Razak memohon maaf kepada mahkamah kerana menyiarkan paparan di laman Facebook berhubung keterangan saksi membabitkan penggunaan kad kredit miliknya.

Pada 18 Julai lalu, Peguam Negara, Tommy Thomas, meminta Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah supaya Najib memohon maaf kepada mahkamah, bagaimanapun Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, pada 23 Julai lalu memutuskan bahawa ia lebih baik difailkan melalui permohonan rasmi.

Melalui permohonan yang difailkan semalam, Pendakwa Raya memohon mahkamah tinggi mendengar secepat mungkin usul pihaknya supaya Najib memohon maaf terhadap penerbitan subjudis dalam Facebook miliknya pada jam 9.30 malam, 15 Julai lalu dan 11.23 pagi 17 Julai lalu.

Pendakwa Raya juga memohon perintah supaya Najib dihalang daripada menerbitkan atau menyebabkan pernyataan itu diterbitkan membabitkan keterangan dikemukakan saksi dalam kes perbicaraan ‘SRC International’ yang dihadapinya.

Ia juga memohon perintah, bahawa Najib yang menyebabkan penerbitan yang dipersoalkan itu dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam prosiding sebelum ini, Tommy berkata Najib memuat naik paparan yang menjelaskan keterangan saksi ke-47, iaitu Naib Presiden Kanan Kumpulan Ambank, Yeoh Eng Leong, berhubung penggunaan kad kredit miliknya (Najib) dengan menyatakan bahawa ia digunakan bagi membeli hadiah untuk kerabat diraja luar negara.

Beliau berkata pendakwaan menuntut permohonan maaf tanpa bersyarat daripada tertuduh di atas tindakannya dan satu aku janji untuk tidak mengulanginya.

Tommy berkata Najib melakukan tindakan itu atas kapasiti peribadi dan perlu bertanggungjawab di atas perbuatannya.

Sementara itu, dalam afidavit sokongan yang diikrarkan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat, berkata kedua-dua penerbitan itu jika dibaca secara keseluruhan, adalah jelas menunjukkan cubaan Najib selaku responden untuk membuat pembelaan melalui media sosial dan mengulas keterangan dikemukakan di mahkamah.

“Amat jelas perkara ini adalah subjudis dan berniat untuk mempengaruhi keterangan di mahkamah dan mendapatkan sokongan daripada orang awam untuk memberikan tekanan dan dorongan terhadap keputusan mahkamah.

“Adalah jelas bahawa tindakan sedemikian tidak sesuai dan adalah satu campur tangan terhadap pentadbiran keadilan dan proses perundangan.

“Dua penerbitan dipersoalkan itu menjurus kepada ulasan dan pendedahan berkaitan prosiding kehakiman yang memprejudiskan serta sudah membuat penghakiman terlebih dulu,” katanya.

Pendakwa Raya berkata, penerbitan yang dipersoalkan itu adalah berhubung perkara yang akan diputuskan mahkamah, dan ia menceroboh perkara bagaimana isu itu patut diputuskan atau ditangani.

Katanya, ia secara langsung memprejudiskan keputusan prosiding yang menyebabkan risiko besar terhadap campur tangan ke atas proses perundangan dan pentadbiran keadilan.

Eng Leong, dalam prosiding sebelum ini, memberi keterangan mengenai transaksi dua kad kredit Najib yang dibelanjakan sehingga RM3.3 juta dalam masa sehari di butik barangan kemas De Grisogono, Itali pada 8 Ogos 2014.

De Grisogono adalah butik barangan kemas mewah Swiss yang diasaskan di Geneva Switzerland pada 1993 oleh pakar berlian hitam Itali berasal dari Lubnan, Fawaz Gruosi.

Berita Harian X