Jumaat, 26 Julai 2019 | 5:13pm
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain. - NSTP/Abdullah Yusof

Polis tunggu laporan perubatan, kimia

IPOH: Dakwaan menyatakan tiada tindakan diambil, termasuk tangkapan terhadap suspek kes rogol pembantu rumah warga Indonesia membabitkan seorang EXCO Perak sejak dilaporkan pada 8 Julai lalu adalah tidak benar.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, berkata berlaku penyebaran dakwaan tidak berasas berhubung siasatan kes berkenaan sebelum ini dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya bagi mengelak kekeliruan.

“Sejak 8 Julai lalu, sejurus laporan polis diterima daripada seorang wanita warga Indonesia berusia 23 tahun mendakwa dirogol seorang EXCO Perak, kita sudah membuat tangkapan ke atas suspek. Penahanan dilakukan pada 9 Julai bagi membantu proses siasatan mengikut prosedur ditetapkan.

“Hasil kerjasama diberikan suspek, polis berjaya melengkapkan siasatan dalam 24 jam dan suspek kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan berhubung kes berkenaan juga sudah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dan kemudian mengembalikannya semula untuk tindakan selanjutnya.

“Ini termasuk mendapatkan laporan lengkap pakar perubatan dan Jabatan Kimia. Justeru, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi kerana boleh menjejaskan proses siasatan.

“Kita akan memastikan siasatan dijalankan mengikut undang-undang serta kuasa-kuasa yang diberikan dengan telus, adil dan amanah,” katanya.

346 dibaca
Berita Harian X