Khamis, 25 Julai 2019 | 6:41pm
Lokasi kejadian dua individu dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Taman Desa Melati, Nilai. - NSTP/Hasriyasyah Sabudin
Anggota polis mengusung mayat mangsa dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Taman Desa Melati, Nilai. - NSTP/Hasriyasyah Sabudin

Kesan kelar, tikaman pada badan suami isteri

SEREMBAN: Polis mengesahkan terdapat beberapa kesan tikaman dan kelar pada beberapa anggota badan suami isteri yang mati di Taman Desa Melati, Nilai, malam tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata terdapat beberapa kesan kelar pada tangan dan dahi, Tan Kim Joo, 73, yang mayatnya ditemui anggota bomba di bahagian dapur rumah teres dua tingkat itu.

Katanya, isteri mangsa, Ng Chong Hwa, 63, yang ditemui dalam bilik berhampiran dapur pula mempunyai dua kesan tikaman pada dada dan kelar pada tangan.

“Siasatan secara menyeluruh masih dijalankan dan setakat ini kita percaya ada unsur jenayah berdasarkan kesan kecederaan yang ditemui.

“Selain itu ketika kejadian pintu belakang rumah mangsa terbuka manakala pintu hadapan berkunci,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Bulan Julai 2019 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, setakat ini polis belum mengenal pasti motif kejadian dan suspek yang terbabit.

Ditanya sama ada kejadian itu bermotifkan samun, beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan berikutan keadaan rumah yang terbakar kira-kira 40 peratus ketika kejadian.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mayat pasangan itu ditemui kira-kira jam 9.30 malam tadi, dipercayai dibunuh.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Mohd Fauzi Abu Bakar, dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan kebakaran pada jam 9.23 malam.

Katanya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai dan Seremban 2 bersama 22 anggota dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran di rumah teres dua tingkat itu sebelum menemui mayat pasangan berkenaan.

841 dibaca
Berita Harian X