Khamis, 25 Julai 2019 | 5:23pm

Lelaki Myanmar ditahan intai rakan sekerja

JOHOR BAHRU: Seorang pekerja kilang warga Myanmar berusia 20 tahun ditahan kerana dipercayai mengintai dan merakam gambar kerani wanita di tandas tempat kerjanya di Taman Perindustrian Berjaya, Kempas, di sini, semalam.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa yang juga wanita tempatan berusia 23 tahun, menyedari kehadiran suspek ketika berada dalam tandas pejabatnya.

“Mangsa kemudian ternampak telefon bimbit dihalakan ke arahnya dari bahagian atas dinding tandas di sebelahnya sebelum dia segera keluar. Dia mengetuk pintu tandas itu namun suspek enggan membuka pintu berkenaan.

“Mangsa kemudian mendapatkan bantuan rakan sekerjanya. Suspek kemudian keluar sebelum ditahan oleh mangsa serta rakannya.

“Wanita itu merampas telefon bimbit suspek dan menemui gambarnya sedang membuang air kecil yang dirakam suspek,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata suspek ditahan jam 12.30 tengah hari semalam.

“Mangsa sendiri membawa suspek ke balai dan menyerahkannya kepada polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 509/292 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X