Khamis, 25 Julai 2019 | 1:33pm
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kiri) ketika pelancaran 'Red Bean Assistance Program' di National Kidney Foundation (NKF) Centre, Petaling Jaya hari ini.Turut hadir Pengerusi NKF Datuk Dr Zaki Morad (dua, kanan) dan Pengurus Besar Roche Malaysia Sdn Bhd Lance Duan (kanan). - Foto BERNAMA
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tiga, kanan) melawat pusat rawatan dialisis selepas pelancaran 'Red Bean Assistance Program' di National Kidney Foundation (NKF) Centre, Petaling Jaya hari ini. Turut hadir Pengerusi NKF Datuk Dr Zaki Morad (dua dari kanan). - Foto BERNAMA

KKM nafi najis burung faktor insiden gangguan kesihatan di sekolah

SUBANG JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan pencemaran najis burung merpati mungkin faktor sampingan insiden gangguan kesihatan, termasuk sesak nafas dan muntah, di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, Johor.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata mana-mana pihak mahu memberi pandangan berhubung kejadian itu perlu kembali kepada hasil penemuan KKM yang diumumkan sebelum ini.

Beliau berkata, pengumuman itu ialah penemuan gas metil merkaptan, akrilonitril dan akrolein yang dikesan berdasarkan keputusan makmal.

“Pernahkah kami sebut mengenai najis burung merpati? Tidak pernah. Justeru, kembali kepada apa yang kami sebut, tanpa (kami menghalang) sesiapa memberi komen dan pandangan.

“Kementerian terus memantau perkara ini. Sebelum ini, kami mengesan bahan ‘volatile organic compounds’ tetapi kejadian ini tidak sama dengan (kes pencemaran) Sungai Kim-Kim yang mana ramai dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

“Kami kembali kepada dapatan yang diperoleh secara keputusan makmal dan simptom pesakit. EXCO Johor itu (hanya) memberi pandangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kurangkan Gula, Hidup Sihat, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar, Selasa lalu, bahawa pencemaran najis burung merpati mungkin antara faktor sampingan menyebabkan insiden pelajar sesak nafas dan muntah di SK Tanjung Puteri Resort.

Media sebelum ini melaporkan sembilan kes baharu sesak nafas dilaporkan di Pasir Gudang, Isnin lalu setakat jam 12 tengah malam, membabitkan lapan pelajar dan seorang guru dari empat sekolah termasuk SK Tanjung Puteri Resort, yang dirawat sebagai pesakit luar.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, KKM mendapatkan khidmat pakar bebas untuk menyiasat dan menganalisis punca kejadian di Pasir Gudang yang akan dibandingkan dengan dapatan kementerian.

“Bila dapatan itu akan diumumkan bergantung pada secepat mana mereka dapat menyelesaikan siasatan. Namun, saya yakin mereka boleh mengeluarkan laporan itu dalam bulan ini,” katanya.

951 dibaca
Berita Harian X