Rabu, 24 Julai 2019 | 9:41am
Dua termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut selepas kereta Perodua Alza yang dinaiki mereka terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Kilometer 71.5, Jalan Kota Bharu-Gua Musang di Kuala Krai, malam tadi. - Foto ihsan PDRM Kelantan
Dua termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut selepas kereta Perodua Alza yang dinaiki mereka terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Kilometer 71.5, Jalan Kota Bharu-Gua Musang di Kuala Krai, malam tadi. - Foto ihsan PDRM Kelantan

Dua maut termasuk kanak-kanak tiga tahun dalam kemalangan

KUALA KRAI: Dua maut termasuk kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, selepas kereta yang dinaiki terbabas di Kilometer 71.5, Jalan Kota Bharu-Gua Musang di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 10.30 malam, mangsa yang maut adalah Siti Syafwani Shafei, 27, dan Nur Ramadhiyani Al Hani Roswaman, berusia tiga tahun.

Manakala, pemandu Perodua Alza, Inni Syukurna Zakaria, 23, dan Suliza Ab Latiff, 32, yang juga ibu kepada Nur Ramadhiyani Al-Hani cedera dan dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK).

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Wan Fauzi Wan Ishak, berkata ketika kejadian Perodua Alza dinaiki empat individu dari Kuala Krai menghala ke Padang Sembilan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dinaiki mangsa cuba mengelak sebuah motosikal yang datang dari arah sama.

“Bagaimanapun, Perodua Alza terbabit hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan.

“Penumpang hadapan, Siti Syafwani meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala kanak-kanak terbabit meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kesemua mangsa dihantar ke HKK untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

661 dibaca
Berita Harian X