Rabu, 24 Julai 2019 | 12:03am
ANGGOTA bomba berjaya menyelamatkan enam penghuni termasuk dua kanak-kanak yang terperangkap dalam sebuah kediaman di Jalan Lorong Rahim Kajai, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), apabila ruang stor kediaman itu terbakar, awal malam tadi.

Enam terselamat stor kediaman terbakar

KUALA LUMPUR: Bomba menyelamatkan enam penghuni termasuk dua kanak-kanak yang terperangkap dalam sebuah kediaman di Jalan Lorong Rahim Kajai, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, apabila ruang stor kediaman itu terbakar, awal malam tadi.

Kesemua mereka dilaporkan berada di dalam kediaman dua tingkat berkenaan ketika stor yang terletak di tingkat bawah terbakar.

Bomba yang menerima laporan kejadian pada jam 7.35 malam mengejarkan tiga pasukan membabitkan 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat TTDI, BBP Sri Hartamas dan BBP Hang Tuah ke lokasi untuk menyelamat dan memadam kebakaran.

Menurut Ketua Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zuhair Faizal Zulkifli, keenam-enam mangsa terdiri daripada empat dewasa dan dua kanak-kanak yang terperangkap di dalam kediaman itu berjaya diselamatkan oleh anggota bomba.

“Anggota kita berusaha mengawal kebakaran daripada merebak ke bahagian lain sebelum api berjaya dikawal sekitar jam 7.58 malam.

“Kebakaran membabitkan bahagian stor kediaman dianggarkan berkeluasan 297 meter persegi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 8.42 malam dan buat masa ini punca kebakaran masih dalam siasatan.

205 dibaca
Berita Harian X