Rabu, 24 Julai 2019 | 12:01am
MUHAMMAD Hamadi dan Nur Syuhadah Zaini maut selepas terbabit kemalangan di Lebuhraya Persekutuan, pagi tadi.

Kehilangan anak, menantu saat akhir ke Makkah

PETALING JAYA: Walaupun berdepan dugaan hebat kehilangan anak dan menantu serentak dalam kemalangan jalan raya semalam, Zakaria Tajuddin dan isteri, Halimah Mohd Isa, tetap akan berangkat ke Makkah bagi menunaikan petang ini.

Malah, menantu pasangan itu, Nur Syuhadah Zaini, 31, sudah mengambil cuti hari ini untuk menghantar dan mengucapkan selamat jalan kepada pasangan itu yang menginap di Kompleks Tabung Haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai persediaan untuk berlepas ke Tanah Suci.

Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian apabila Nur Syuhadah dan suaminya yang juga anak Zakaria, Muhammad Hamadi, 31, maut apabila motosikal berkuasa tinggi mereka naiki terbabas ketika cuba mengelak dua motosikal lain dalam kemalangan di Lebuhraya Persekutuan, hala ke ibu negara, di sini, jam 8.30 pagi semalam.

Pasangan yang tinggal di Seksyen 19, Shah Alam, Selangor itu, meninggal dunia di tempat kejadian. Mereka meninggalkan dua anak, Hani Safina, 2, dan Hanna Safiyyah, 6.

Kemalangan di lorong motosikal lebuh raya itu turut menyebabkan dua lagi penunggang motosikal parah.

Zakaria berkata, beliau reda dengan ketentuan Allah dan tetap akan berangkat ke Makkah bersama isterinya petang ini.

“Penerbangan dijangka jam 4 petang, semua urusan perlu dimulakan 11 pagi esok…apa yang terjadi hari ini semua perancangan Allah dan saya terima ketentuan Allah dengan reda,” katanya kepada BERNAMA ketika ditemui di perkarangan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, semalam.

Ibu Nur Syuhadah, Fatimah Mohd Yatim, 60, pula berkata, anaknya itu mahu membawanya bersama bagi mengucapkan selamat jalan kepada Zakaria dan Halimah, yang juga besannya.

“Dia (Nur Syuhadah) memang sudah ambil cuti nak bawa saya bersama pergi hantar besan memandangkan saya tidak pernah ke sana, tempat baharu Tabung Haji itu.

“Semalam kami sarapan sama-sama sebab ibu bapa mentuanya nak tunai haji, maka Nur Syuhadah ajak kami bersarapan bersama dengan besan saya.

“Pagi ini saya dapat berita kami kehilangan mereka buat selama-lamanya,” katanya dalam nada sedih dan berlinangan air mata,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata motosikal Honda ditunggang Muhammad Hamadi dan Nur Syuhadah yang membonceng, dipercayai merempuh sebuah motosikal Suzuki yang sebelum itu terbabit dalam kemalangan di tengah jalan.

Beliau berkata, Muhammad Hamadi yang dipercayai tidak sempat mengelak terbabas sebelum merempuh penghadang di kiri jalan.

“Terdahulu, motosikal Suzuki terbabit dikatakan bergesel dengan sebuah motosikal Yamaha lalu terbabas di jalan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Azman berkata, penunggang motosikal Suzuki dan Yamaha, masing-masing dikenali sebagai Sainuddin Sukkur, 51, dan Mohd Saad Ismail, 45, kini ditempatkan di zon merah PPUM untuk rawatan lanjut.

Katanya, mayat pasangan itu turut dibawa ke PPUM untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X