Selasa, 23 Julai 2019 | 9:09pm
BEKAS Pengurus Perhubungan (RM) AmBank, Joanna Yu ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi

'Saya diarahkan untuk berhenti'

KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Perhubungan (RM) AmBank, Joanna Yu yang mengendalikan akaun semasa Datuk Seri Najib Razak, digesa meletakkan jawatan pada penghujung 2015.

Joanna yang memberi keterangan ketika menjawab soalan peguam bela, Harvinderjit Singh, berkata ia berikutan bank itu dikatakan menerima tekanan selepas ia didenda RM53.7 juta oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung pelanggaran peraturan.

Ditanya Harvinderjit sama ada peletakan jawatan itu berikutan pembabitan beliau dalam mengendalikan akaun Najib, saksi itu berkata, “Saya percaya begitulah.”

Joanna berkata, beliau mendapat tahu AmBank didenda selepas membaca laporan media berhubung kegagalan institusi kewangan itu memfailkan Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) membabitkan akaun Najib.

“Saya membaca dalam akhbar bahawa mereka (AmBank) didenda dan kemudian saya diarahkan untuk berhenti.

“Pihak bank (AmBank) dikenakan tekanan yang hebat kerana pembabitan dengan akaun Najib (di AmBank),” katanya.

Saksi itu berkata, sebelum dikenakan denda, AmBank cawangan Jalan Raja Chulan diserbu BNM pada 6 Julai 2015 dan dokumen berkaitan akaun Najib turut dirampas.

Selain itu, beliau berkata, rakan sekerjanya, Daniel Lee dan Krystle Yap, turut meletak jawatan daripada AmBank selepas kejadian berkenaan.

“Ketika itu, jabatan kami ada lapan pekerja, dan Lee serta Yap mengendalikan akaun SRC International Sdn Bhd. Saya paling lama berkhidmat di jabatan itu,” katanya.

Pada soalan lain, Joanna berkata, beliau akan merujuk ahli perniagaan dalam buruan kini, Low Taek Jho atau Jho Low, apabila akaun peribadi Najib tidak memiliki baki mencukupi ketika transaksi perlu dilakukan.

Bagaimanapun, saksi itu berkata, lazimnya beliau akan menghubungi bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, jika perlu memindahkan dana di antara akaun peribadi Najib berakhir dengan nombor 880, 898 dan 906.

Bagi tujuan itu, katanya, Nik Faisal adalah pemegang mandat untuk akaun Najib dan boleh mengarahkan pemindahan di antara akaun berkenaan.

Terdahulu, Joanna menegaskan bahawa beliau bukan perantara bagi Nik Faisal dan Jho Low.

“Mereka saling berhubung dan tidak memerlukan saya... Saya hanya mendapatkan arahan daripada Nik Faisal untuk mengurus akaun terbabit.

“Selain itu, saya juga merangka surat arahan kepada Nik Faisal untuk membantu menangani pengeluaran cek membabitkan amaun melebihi baki dalam akaun,” katanya.

Dalam pada itu, suasana di mahkamah, hari ini, menjadi ‘panas’ apabila Harvinderjit dan Sithambaram saling berbalas kata ketika Joanna disoal mengenai pemindahan dana dalam akaun semasa Najib yang berakhir dengan nombor akaun 880.

Saksi ke-54 pendakwaan itu ketika disoal Harvinderjit berkata, beliau tidak ingat mengenai perkara berkenaan.

Harvinderjit kemudian menyoal sama ada Joanna menerima dokumen daripada Jho Low berhubung pemindahan wang dalam akaun berkenaan, saksi itu menjawab, “Saya menerima surat daripada Nik Faisal.”

Joanna cuba memberikan penjelasan lanjut berhubung pertanyaan peguam itu, namun ia dipotong oleh Harvinderjit.

Sithambaram bagaimanapun bangun dan membantah, menyebabkan ‘peperangan mulut’ berlaku antara kedua-dua pihak.

Sithambaram: Ini soalan yang perlu dijawab saksi... Kena beri dia peluang untuk beri penjelasan.

Harvinderjit: Kamu bersikap remeh

Sithambaram: Kesian...

Harvinderjit: Apa kamu cakap?

Sithambaram: Kesian...

Perbalahan itu bagaimanapun terhenti apabila Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mencelah.

Mohd Nazlan: Tolong elakkan daripada menggunakan perkataan menggambarkan sebegitu.

Sithambaram: Minta maaf, Yang Arif.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed, membantah cara digunakan Harvinderjit ketika menyoal saksi yang dilihat agak kasar dan memohon supaya peguam itu lebih bersikap ‘lembut’ dalam bertanya soalan.

Ia berikutan Harvinderjit sering menegur saksi supaya hanya menjawab apa yang disoal dan tidak memberikan penjelasan lanjut.

Mohd Nazlan kemudian mengingatkan saksi supaya hanya menjawab apa yang disoal peguam dan memberitahu Joanna bahawa saksi berpeluang memberikan penjelasan kemudian apabila disoal semula Timbalan Pendakwa Raya.

Perbicaraan di hadapan Mohd Nazlan bersambung esok.

Berita Harian X